KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatat prestasi bercampur-campur pada tengah hari berikutan petunjuk positif menyeluruh daripada prestasi Wall Street pada Jumaat lepas ketika ketidaktentuan berkaitan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang semakin reda selepas Presiden AS Donald Trump mengambil pendekatan kurang agresif.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 9.53 mata atau 0.63 peratus kepada 1,518.73 berbanding 1,509.20 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Indeks ini dibuka 2.63 mata lebih tinggi kepada 1,511.83 dan bergerak antara 1,511.48 hingga 1,520.08 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 430 berbanding 400 manakala 391 kaunter tidak berubah,1,246 tidak diniagakan dan 58 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan berjumlah 1.58 bilion saham bernilai RM825.04 juta.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata pihaknya yakin pemain pasaran akan mengambil kira perkembangan terkini dalam perang dagangan, yang berpotensi memberikan rangsangan kepada ekuiti AS.
Menurutnya memandangkan FBM KLCI kembali melepasi paras psikologi 1,500 pada Jumaat lepas, sokongan belian dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.
“Sementara itu, peningkatan ancaman siber mungkin menjadi pemangkin kukuh kepada saham yang mempunyai keupayaan keselamatan siber, dan saham-saham ini juga kurang terdedah kepada rejim tarif dagangan,” kata firma pembrokeran itu.
Bursa Malaysia Bhd dalam kenyataan semalam berkata, pihaknya dengan kerjasama erat dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, menjelaskan kerugian akibat akses dan aktiviti perdagangan tanpa kebenaran pada 24 April 2025 telah berjaya dikawal.
Bursa mengesahkan bahawa insiden itu, yang melibatkan sebilangan kecil akaun dagangan pelanggan dalam talian broker telah ditangani, dan langkah-langkah telah diambil untuk menangani kejadian ini pada masa hadapan.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 11 sen kepada RM9.98 dan Public Bank menokok enam sen kepada RM4.42 manakala Tenaga Nasional, CIMB dan CelcomDigi masing-masing naik dua sen kepada RM13.58, RM7.01 dan RM3.77.
Bagi saham aktif, SNS Network menokok dua sen kepada 45.5 sen, Tanco dan Top Glove masing-masing naik satu sen kepada 87 sen dan 88 sen manakala Nationgate turun dua sen kepada RM1.28 dan CTOS rendah tiga sen kepada RM1.02.
Di papan indeks yang lebih luas, Indeks FBM Emas menokok 62.31 mata kepada 11,282.15, Indeks FBMT 100 meningkat 64.46 mata kepada 11,054.38, Indeks FBM Emas Syariah naik 39.04 mata kepada 11,123.30 dan Indeks FBM 70 menokok 72.92 mata kepada 15,864.02 manakala Indeks FBM ACE susut 11.65 mata kepada 4,611.92.
Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.68 mata kepada 149.41, Indeks Tenaga naik 2.99 mata kepada 677.67 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 136.26 mata kepada 18,127.45 manakala Indeks Perladangan susut 16.61 mata kepada 7,208.31.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial