PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP RENDAH

02/05/2025 10:30 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat, mengubah kenaikan pada awal dagangan berikutan kebimbangan mengenai pengeluaran yang meningkat dan paras stok domestik yang tinggi yang menjejaskan sentimen pasaran.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran menjadi berhati-hati berikutan jangkaan peningkatan bermusim dalam pengeluaran terutamanya apabila ladang mencatatkan tempoh penuaian puncak pada suku kedua tahun ini.

“Inilah masanya hasil tandan buah segar (FFB) meningkat disebabkan keadaan cuaca yang lebih baik dan aktiviti penuaian yang bertambah baik, yang menyumbang kepada peningkatan dalam pengeluaran MSM,” katanya kepada Bernama.

Beliau menambah paras stok domestik kekal tinggi kerana permintaan eksport terutamanya daripada pengimport utama seperti India dan China, agak lembap dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Pembelian luar negara yang perlahan, ditambah dengan peningkatan pengeluaran tempatan telah menyebabkan meningkatnya inventori. Tanpa momentum eksport yang lebih kukuh, stok kemungkinan akan kekal tinggi dan terus memberi tekanan ke atas harga,” katanya.

Ng berkata paras sokongan dikesan pada RM3,800 satu tan dan paras rintangan pada RM4,000 satu tan.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 menyusut RM51 kepada RM3,920 satu tan, Jun 2025 jatuh RM31 kepada RM3,907 satu tan dan Julai 2025 merosot RM30 kepada RM3,881 satu tan.

Kontrak Ogos 2025 menurun RM22 kepada RM3,883 satu tan, September 2025 merosot RM14 kepada RM3,888 satu tan dan Oktober 2025 berkurang RM13 kepada RM3,891 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 68,810 lot berbanding 55,576 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 232,901 kontrak berbanding 234,571 kontrak sebelum ini.

Sementara itu, harga MSM fizikal untuk Mei Selatan turun RM60 kepada RM4,020 satu tan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan