KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam kalangan kaunter berkaitan indeks, menjejaki prestasi kurang memberangsangkan niaga hadapan pasaran saham Amerika Syarikat (AS).
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 0.45 peratus, atau 7.05 mata kepada 1,535.44 daripada 1,542.49 ketika ditutup pada Jumaat,
Indeks penanda aras itu dibuka 0.71 mata lebih rendah pada 1,541.78 dan bergerak antara 1,535.35 dan 1,548.95 sepanjang sesi urus niaga pagi.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 592 berbanding 278, manakala 416 kaunter tidak berubah, 1,059 tidak diniagakan dan 27 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.46 bilion saham bernilai RM1.08 bilion.
Menurut laporan berita niaga hadapan saham AS menyusut pada petang Ahad, menandakan potensi trend penurunan selepas S&P 500 mengakhiri peningkatan terpanjangnya dalam tempoh lebih 20 tahun.
Sementara itu, di peringkat tempatan, Malacca Securities Sdn Bhd berpendapat saham teknologi akan menjadi penerima manfaat utama aliran masuk dana asing memandangkan sektor itu sebahagian besarnya bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan banyak dijual pada April.
Dalam satu nota hari ini, firma broker itu berkata hari ini ia menjangkakan penanda aras paras rintangan berada pada sekitar 1,557-1,562, manakala paras sokongan terletak pada 1,522-1,527.
Antara saham wajaran tinggi, MISC turun 33 sen kepada RM7.18, CelcomDigi dan Gamuda susut 7.0 sen masing-masing kepada RM3.78 dan RM4.33, 99 Speed Mart Retail turun 4.0 sen kepada RM2.23, dan Sunway susut 8.0 sen kepada RM4.71.
Dalam kalangan saham aktif, SFP Tech menokok 1.5 sen kepada 23.5 sen, manakala West River yang membuat penampilan sulung di Pasaran ACE susut 1.5 sen kepada 37.5 sen, Nationgate turun 6.0 sen kepada RM1.46, Focus Dynamics merosot setengah sen pada 1.5 sen dan Jaks tidak berubah pada 12.0 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 75.68 mata kepada 11,413.69, Indeks FBMT 100 turun 70.19 mata kepada 11,187.05, dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 118.77 mata kepada 11,271.58.
Indeks FBM 70 merosot 176.10 mata kepada 16,098.44 dan Indeks FBM ACE susut 39.42 mata kepada 4,609.78.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 4.85 mata kepada 18,245.80, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.92 mata kepada 151.37, Indeks Tenaga susut 16.92 mata kepada 678.05, dan Indeks Perladangan turun 23.20 mata kepada 7,260.57.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial