Oleh Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Isnin dengan mencatat penyusutan kecil susulan aktiviti pengambilan untung bagi saham-saham telekomunikasi, pembinaan serta tenaga, kata penganalisis.
Pada 5 petang, indeks petunjuk FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.19 peratus atau 2.95 mata kepada 1,539.54 daripada 1,542.49 pada akhir dagangan Jumaat lepas.
Indeks penanda aras itu dibuka turun 0.71 mata kepada 1,541.78 dan bergerak dalam julat 1,534.52 hingga 1,548.95 sepanjang sesi dagangan hari ini.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.34 bilion unit bernilai RM2.08 bilion daripada 2.73 bilion unit bernilai RM2.46 bilion, Jumaat lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau utama pula meningkat sederhana susulan pengukuhan mata wang tempatan namun jumlah dagangan mengecil akibat penutupan operasi pasaran di China dan Hong Kong hari ini.
“Di peringkat tempatan, kami melihat aktiviti pengambilan untung hari ini sebagai tempoh bagi membolehkan pasaran memberi reaksi terhadap keuntungan baru-baru ini dan mewujudkan asas lebih kukuh bagi kenaikan yang berterusan.
“Ini turut memberi peluang kepada mereka yang mahu memanfaatkan peluang susulan penilaian indeks penanda aras yang lebih murah. Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat 1,525-1,555 bagi sesi dagangan ini," kata Thong kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan 99 Speed Mart susut lima sen kepada RM2.22, CelcomDigi turun tujuh sen kepada RM3.78, Kuala Lumpur Kepong rugi 34 sen kepada RM19.52, Maxis merosot enam sen kepada RM3.65 dan Petronas Dagangan kehilangan 26 sen kepada RM19.24.
Bagi saham aktif, Market West River yang melakukan kemunculan pertama di Pasaran ACE turun dua sen kepada 37 sen, SFP Tech naik 1.5 sen kepada 23.5 sen, Nationgate berkurangan lima sen kepada RM1.47, Velesto tidak berubah pada 15.5 sen manakala MYEG turun dua sen kepada 88.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 48.20 mata kepada 11,441.18, Indeks FBMT 100 berkurangan 41.98 mata kepada 11,215.26 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 86.85 mata kepada 11,303.49.
Indeks FBM 70 turun 142.05 mata kepada 16,132.49 manakala Indeks FBM ACE merosot 24.14 mata kepada 4,625.06.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 35.22 mata kepada 18,276.17, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.50 mata kepada 151.79, Indeks Tenaga merosot 12.26 mata kepada 682.71 dan Indeks Perladangan menguncup 35.15 mata kepada 7,248.62.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.51 bilion unit bernilai RM1.91 bilion daripada 1.70 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Jumaat lepas.
Waran merosot kepada 373.95 bilion unit bernilai RM22.31 juta daripada 689.48 bilion unit bernilai RM75.64 juta sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan melonjak kepada 454.30 juta unit bernilai RM139.10 juta berbanding 341.65 juta unit bernilai RM108.73 juta pada Jumaat lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 213.85 juta juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (227.14 juta), pembinaan (185.09 juta), teknologi (238.31 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.31 juta), hartanah (206.55 juta), perladangan (16.86 juta), REIT (18.85 juta), dana tertutup (11,200), tenaga (171.06 juta), penjagaan kesihatan (60.85 juta), telekomunikasi dan media (32.68 juta), pengangkutan dan logistik (32.16 juta), utiliti (58.01 juta), dan amanah perniagaan (5,000).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial