KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih tinggi dalam persekitaran sentimen berhati-hati dan pengumpulan terpilih dalam saham wajaran tinggi.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.25 peratus atau 4.12 mata kepada 1,629.79 daripada 1,625.67 ketika ditutup pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tingg 1.80 mata kepada 1,627.47, seterusnya bergerak antara 1,626.98 dan 1,633.84 pada sesi dagangan tersebut.
Pasaran lebih luas adalah negatif dengan 540 kaunter rugi mengatasi 362 kaunter untung manakala 517 kaunter tidak berubah, 1,319 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 2.17 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.
Hong Leong Investment Bank Bhd berkata FBM KLCI mungkin menyaksikan dagangan tidak menentu hari ini, seiring dengan pasaran Amerika Syarikat (AS) dan serantau yang lembap, dengan paras rintangan kukuh menghampiri paras 1,645.
“Sentimen kekal rapuh dalam persekitaran ketegangan perdagangan antara AS dan China yang berlanjutan, jangkaan bahawa akan berlaku penurunan kadar Rizab Persekutuan (Fed) AS pada 13 Disember depan sudah berkurangan, Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 29 November ini dan kemuncak musim pendapatan dalam tempoh dua minggu akan datang,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Dalam saham wajaran tinggi, Maybank dan Press Metal naik 3.0 sen masing-masing kepada RM9.96 dan RM6.46, CIMB melonjak 6.0 sen kepada RM7.59, Hong Leong Bank meningkat 8.0 sen kepada RM21.04, CelcomDigi menokok 2.0 sen kepada RM3.64, Public Bank tidak berubah pada RM4.29, TNB turun 6.0 sen kepada RM13.36, manakala IHH Healthcare merosot 2.0 sen kepada RM8.25.
Bagi saham aktif, Tanco naik 1.0 sen kepada 96.5 sen, Perak Transit menambah setengah sen kepada 27 sen, VS Industry dan Genting Malaysia tidak berubah masing-masing pada 50.5 sen dan RM2.37, Pharmaniaga berkurangan 2.0 sen kepada 24 sen dan Zetrix AI menguncup 0.5 sen kepada 84 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Fraser & Neave naik 70 sen kepada RM33.18, Nestle meningkat 40 sen kepada RM113.90, Hong Leong Industries dan Allianz menokok 30 sen masing-masing kepada RM15.10 dan RM18.50, respectively, manakala Malaysian Pacific Industries melonjak 24 sen kepada RM30.94.
Bagi kaunter rugi, Kuala Lumpur Kepong turun 18 sen kepada RM21.08, SAM Engineering & Equipment susut 16 sen kepada RM4.30, UWC merosot 14 sen kepada RM3.70 dan Vitrox berkurangan 10 sen kepada RM4.21.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 naik 24.66 mata kepada 11,847.72, Indeks FBM Emas menambah 23.80 mata kepada 12,078.65, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 24.57 mata kepada 12,083.74, Indeks FBM Mid 70 menambah 11.90 mata kepada 16,902.77 dan Indeks FBM ACE merosot 1.13 mata kepada 4,982.63.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 1.48 mata kepada 8,141.56, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 68.05 mata kepada 18,499.39 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.04 mata kepada 167.03 manakala Indeks Tenaga naik 3.92 mata kepada 759.53.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial