Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Indeks petunjuk pasaran Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit hari ini di tengah-tengah dagangan yang tidak menentu sepanjang hari, disokong oleh minat belian yang sederhana dalam saham wajaran tinggi terpilih.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.76 mata, atau 0.11 peratus, kepada 1,627.43 daripada 1,625.67 pada Jumaat minggu lepas.
Indeks petunjuk utama pasaran itu dibuka tinggi naik 1.80 mata kepada 1,627.47 dan bergerak turun naik antara paras 1,626.23 dan 1,633.84 sepanjang sesi dagangan.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 604 berbanding 482, manakala 560 kaunter tidak berubah, 1,092 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.77 bilion unit bernilai RM2.47 bilion daripada 3.64 bilion unit bernilai RM2.68 bilion pada Jumaat.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata FBM KLCI naik sedikit hari ini, tetapi sentimennya lebih kepada “pegangan" dan bukannya melepasi paras sokongan atau ketahanan.
Beliau berkata bursa Malaysia pada dasarnya mengikut trend serantau - kukuh sedikit, namun tidak begitu bergerak - memandangkan pelabur masih enggan mengambil risiko menjelang pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang banyak tertangguh berikutan penutupan kerajaan.
"Dengan tinjauan dasar Rizab Persekutuan AS yang dibayangi oleh kenyataan cenderung kepada kenaikan kadar baru-baru ini, sentimen global bertukar menjadi berhati-hati, dan ia turut mempengaruhi Bursa Malaysia.
“Pasaran serantau juga lembap, menjadikan pasaran Malaysia mendatar, tidak menurun dan juga tidak begitu melonjak. Oleh itu kenaikan hari ini lebih menjurus kepada sokongan tempatan dan pelabur mengekalkan pegangan sehingga pengumuman data AS yang boleh menyediakan hala tuju yang lebih jelas," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi mengenai Taiwan telah meningkatkan ketegangan geopolitik di rantau Asia Timur.
"Dari segi positifnya, aktiviti pembelian dilihat di pasaran sedang pesat membangun, yang memberikan penilaian lebih murah di tengah-tengah pengukuhan mata wang tempatan berbanding dolar AS.
"Di pasaran tempatan, indeks petunjuk pasaran berada di sekitar paras 1,630, dan kami menjangkakan sekiranya paras ini dilepasi akan membuka jalan ke arah paras 1,650. Kami menjangkakan FBM KLCI bergerak dalam julat 1,620-1,650 bagi minggu ini," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.30, CIMB mengukuh 8.0 sen kepada RM7.61, Press Metal naik 3.0 sen kepada RM6.46, Hong Leong Bank meningkat 4.0 sen kepada RM21, Maybank susut 1.0 sen kepada RM9.92, TNB turun 14 sen kepada RM13.28 dan IHH Healthcare berkurangan 7.0 sen kepada RM8.20.
Dalam senarai saham paling aktif, Tanco meningkat 1.0 sen kepada 96.5 sen, Perak Transit naik 2.0 sen kepada 28.5 sen, OCR Group tidak berubah pada 4.0 sen dan MMAG susut 1.5 sen kepada 6.0 sen.
Dalam kalangan saham paling untung utama, Malaysian Pacific Industries meningkat 80 sen kepada RM31.50, Fraser & Neave melonjak 56 sen kepada RM33.02, United Plantation naik 50 sen kepada RM26.80 dan Hong Leong Industries menokok 30 sen kepada RM15.10.
Dalam kalangan saham paling rugi utama, Kuala Lumpur Kepong dan Nestle susut 50 sen masing-masing kepada RM20.76 dan RM113, Bintulu Port turun 34 sen kepada RM5.01, Malayan Cement berkurangan 16 sen kepada RM6.54 dan SAM Engineering & Equipment menyusut 15 sen kepada RM4.31.
Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 17.58 mata kepada 11,840.64, Indeks FBM Emas menokok 18.24 mata kepada 12,073.09, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah sebanyak 14.87 mata kepada 12,074.04.
Indeks FBM ACE meningkat 31.51 mata kepada 5,015.27 dan Indeks FBM Mid 70 menokok 45.75 mata kepada 16,936.62.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 21.94 mata kepada 8,118.14, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 64.78 mata kepada 18,496.12, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.30 mata kepada 167.29, manakala Indeks Tenaga melonjak 5.39 mata kepada 761.00.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.27 bilion unit bernilai RM1.96 bilion daripada 1.38 bilion unit bernilai RM2.23 bilion pada Jumaat.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.02 bilion unit bernilai RM366.90 juta daripada 1.90 bilion unit bernilai RM305.93 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 478.72 juta unit bernilai RM137.79 juta daripada 348.77 juta unit bernilai RM143.45 juta.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 250.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (198.86 juta), pembinaan (94.87 juta), teknologi (136.10 juta), perkhidmatan kewangan (56.39 juta), hartanah (218.48 juta), perladangan (28.13 juta), amanah pelaburan hartanah (11.67 juta), dana tertutup (7,100), tenaga (53.99 juta), penjagaan kesihatan (108.95 juta), telekomunikasi dan media (35.83 juta), pengangkutan dan logistik (40.37 juta), utiliti (35.88 juta), dan amanah perniagaan (395,100).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial