PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DITUTUP BERCAMPUR-CAMPUR

17/11/2025 10:02 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup bercampur-campur hari ini selepas disokong oleh aktiviti pembelian tawar-menawar susulan jualan besar-besaran baru-baru ini, kata seorang peniaga. 

Peniaga minyak sawit, David Ng memberitahu sentimen pasaran terus melonjak berikutan pengukuhan dalam harga minyak kacang soya.

"Oleh itu, kita melihat sokongan pada RM4,100 setan dan rintangan pada RM4,280 setan," katanya kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata pengurangan dalam tarif import dua minggu India ke atas minyak sawit dan ringgit yang sedikit lemah telah membantu mengukuhkan niaga hadapan MSM daripada penyusutan sebelumnya.

Katanya, India telah memotong tarif import dua minggu ke atas MSM daripada US$1,113 kepada US$ 1,066, mengakibatkan penurunan duti import yang boleh dibayar bersih berbanding dengan pengurangan yang kecil dalam minyak kacang soya.

Mencerminkan sentimen yang agak berhati-hati di pasaran, ringgit telah menyusut kepada 4.1480/1515 hari ini berbanding dolar US daripada 4.1290/1345 yang disaksikan semasa Jumaat lepas.

Sementara itu, kontrak bulan semerta baharu Disember 2025 menokok RM18 kepada RM4,118 setan, Januari 2026 memperoleh RM13 kepada RM4,141 setan dan Februari 2026 menambah RM6 kepada RM4,151 setan.

Bagaimanapun, kedua-dua kontrak Mac serta April 2026, masing-masing jatuh sebanyak RM4 dan RM12 kepada RM4,155 setan, manakala Mei 2026 melemah RM13 kepada RM4,152 setan.

Jumlah dagangan naik kepada 106,354 lot berbanding 92,204 lot sebelum ini, manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 271,451 kontrak daripada 269,476 kontrak.

Harga MSM fizikal untuk Disember Selatan naik RM50 kepada RM4,130 setan.

-- BERNAMA  

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan