PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA TINGGI PADA TENGAH HARI DIPACU BELIAN KUKUH SAHAM WAJARAN TINGGI

20/11/2025 02:22 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi lebih tinggi, disokong aktiviti belian berterusan dalam kaunter berwajaran tinggi terpilih serta rangsangan baharu yang meningkatkan sentimen pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.35 mata, atau 0.27 peratus, kepada 1,628.24 berbanding 1,623.89 ketika ditutup pada Rabu. 

Indeks penanda aras itu dibuka 4.55 mata lebih tinggi pada 1,628.44 sebelum bergerak dalam jajaran antara 1,624.85 dan 1,629.49 sepanjang sesi.

Sentimen pasaran kekal positif dengan 649 kaunter untung mengatasi 372 kaunter rugi, manakala 466 kaunter tidak berubah, 1,299 tidak didagangkan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 3.37 bilion unit bernilai RM1.73 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI pulih seperti dijangka selepas susut empat hari berturut-turut untuk kembali melepasi paras 1,620.

“Meskipun aktiviti jualan asing masih ketara, kami percaya penilaian semasa yang menarik akan mendorong pengumpulan saham dalam masa terdekat. Sehubungan itu, kami menjangka indeks bergerak dalam lingkungan 1,620 hingga 1,630 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan kaunter berwajaran tinggi, Maybank kekal pada RM9.93, manakala Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing naik empat sen kepada RM4.32 dan RM13.22. CIMB dan IHH Healthcare susut dua sen kepada RM7.55 dan RM8.23.

Bagi kaunter paling aktif, Tanco dan Zetrix AI meningkat satu sen masing-masing kepada RM1.02 dan 85.5 sen. Perak Transit dan Malayan United kekal pada 28.5 sen dan 6.0 sen, manakala Aquawalk susut 1.5 sen kepada 36.5 sen.

Kaunter untung tertinggi termasuk Nestle yang naik 80 sen kepada RM113.10, Malaysian Pacific menambah 58 sen kepada RM31.00, United Plantations meningkat 56 sen kepada RM28.56, Petronas Dagangan bertambah 42 sen kepada RM21.54, dan Kelington naik 25 sen kepada RM5.41.

Antara kaunter rugi teratas, Sunway Construction turun lapan sen kepada RM5.78, Chin Hin dan Mega First masing-masing susut lima sen kepada RM2.02 dan RM3.48, manakala Eng Kah berkurang 4.5 sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 meningkat 45.79 mata kepada 11,845.53, Indeks FBM Emas naik 50.03 mata kepada 12,075.33, Indeks FBM Emas Shariah bertambah 57.17 mata kepada 12,071.47, Indeks FBM Mid 70 melonjak 126.99 mata kepada 16,939.38, dan Indeks FBM ACE meningkat 41.95 mata kepada 4,964.70.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 23.0 mata kepada 8,248.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 37.92 mata kepada 18,481.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.74 mata kepada 166.07, manakala Indeks Tenaga bertambah 1.06 mata kepada 759.75.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan