PASARAN > BERITA

RINGGIT DITUTUP KUKUH BERBANDING DOLAR AS SUSULAN JANGKAAN PENURUNAN KADAR FAEDAH AS

28/11/2025 07:41 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Ringgit meneruskan peningkatan untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS pada Jumaat berikutan jangkaan yang meningkat terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) pada Disember.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1300/1350 berbanding dolar AS daripada 4.1305/1345 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan mengenai kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed) adalah pada Disember, dengan kemungkinan penurunan 25 mata asas melebihi 80 peratus kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi mata wang itu.

“Oleh itu, ringgit terus bergerak sekitar RM4.12 hingga RM4.13 berbanding dolar AS manakala Indeks Dolar AS (DXY) kekal di bawah 100 mata,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit kebanyakannya meningkat berbanding mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4528/4594 daripada 5.4576/4629 dan meningkat berbanding euro kepada 4.7768/7825 daripada 4.7823/7869.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding yen kepada 2.6420/6456 daripada 2.6417/6444 semasa ditutup pada Khamis.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia lebih tinggi berbanding dolar Singapura pada 3.1813/1857 daripada 3.1817/1850 semasa ditutup semalam dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 247.6/248.0 daripada 248.3/248.6.

Mata wang tempatan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.8245/8472 daripada 12.8097/8285 dan susut berbanding peso Filipina kepada 7.04/7.06 daripada 7.02/7.04.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan