PASARAN > BERITA

BURSA MALAYSIA SUSUT PADA TENGAH HARI SUSULAN AKTIVITI PENGAMBILAN UNTUNG

03/12/2025 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia menyusut semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini berikutan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih, diterajui oleh perkhidmatan kewangan, produk dan perkhidmatan perindustrian, serta sektor telekomunikasi dan media.

Maybank susut 14 sen kepada RM10.20, Press Metal Aluminium berkurangan 15 sen kepada RM6.70, dan CelcomDigi rendah 10 sen kepada RM3.29, yang secara kolektif merendahkan 7.17 mata daripada indeks komposit.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 8.94 mata atau 0.55 peratus kepada 1,621.66 daripada 1,630.60 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka mengukuh 0.86 mata kepada 1,631.46, bergerak antara 1,621.44 dan 1,632.95 semasa sesi pagi.

Pasaran lebih luas adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 510 berbanding 425. Sebanyak 496 kaunter tidak berubah, 1,273 tidak diniagakan, dan tujuh yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 2.23 bilion unit bernilai RM1.10 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata, di dalam negara,  pasaran sedang menilai landskap pasca pilihan raya Sabah dan kemungkinan berlakunya rombakan kabinet, yang mungkin digunakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan-Sabah dan menandakan keterangkuman yang lebih luas.

“Dari segi luaran, FBM KLCI mungkin berdepan ketidaktentuan berikutan pelabur sedang menilai mesyuarat Bank of Japan yang akan datang, dengan potensi kenaikan kadar faedah boleh mengukuhkan yen dan hasil bon sekali gus menyebabkan risiko perdagangan ‘carry-trade’ atau perdagangan perbezaan kadar faedah memberi tekanan kepada aset berisiko,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya sebarang penurunan dijangka menerima sokongan kukuh menghampiri paras 1,590-1,600, disokong oleh asas mantap, penilaian saham yang tidak terlalu tinggi serta faktor bermusim yang positif.

“Ini meletakkan asas kepada potensi ujian semula paras rintangan 1,643-1,659 selepas dua bulan berturut-turut mencatat penurunan pada Oktober (-2.7 mata) dan November (-4.7 mata),” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi lain, Maxis susut sembilan sen kepada RM3.82, Telekom Malaysia rendah 14 sen kepada RM7.56, IHH Healthcare berkurangan enam sen kepada RM8.30, Tenaga Nasional menambah 26 sen kepada RM13.00, dan 99 Speedmart meningkat tujuh sen kepada RM3.48.

Antara saham paling aktif, Tanco naik empat sen kepada RM1.15, D&O Green Technologies menambah tujuh sen kepada 83.5 sen, Capital A susut 1.5 sen kepada 38.5 sen manakala TWL dan Velesto Energy masing-masing rendah setengah sen kepada 2.5 sen dan 23.5 sen.

Antara kaunter paling untung menyaksikan Allianz Malaysia meningkat 46 sen kepada RM20.26, KESM Industries menambah 28 sen kepada RM3.14, Chin Teck Plantations naik 24 sen kepada RM11.04, Hong Leong Financial Group meningkat 20 sen kepada RM17.82, dan Hong Leong Bank mengukuh 14 sen kepada RM21.28.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle rendah RM2.10 kepada RM118.10, Fraser & Neave susut 80 sen kepada RM35.56, Petronas Dagangan berkurangan 32 sen kepada RM20.34, Petronas Gas merosot 18 sen kepada RM17.52 dan MISC rendah 11 sen kepada RM7.46.

Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 8.89 mata kepada 4,789.76, Indeks FBM Mid 70 naik 15.38 mata kepada 16,741.38 manakala Indeks FBM Emas menyusut 40.88 mata kepada 11,990.41, Indeks FBMT 100 berkurangan 46.35 mata kepada 11,775.24, dan Indeks FBM Emas Shariah susut 36.90 mata kepada 11,811.22.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan mengukuh 2.47 mata kepada 8,093.57. Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan rendah 39.81 mata kepada 19,071.17, Indeks Tenaga menyusut 2.36 mata kepada 748.05, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.97 mata kepada 164.99.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan