PASARAN > BERITA

NIAGA HADAPAN MSM DIJANGKA DINIAGAKAN TIDAK MENENTU MINGGU DEPAN

06/12/2025 10:27 AM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) dijangka diniagakan tidak menentu minggu depan berikutan cuti akhir tahun yang menyebabkan kurangnya penglibatan peniaga antarabangsa, kata peniaga.

Peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies Jim Teh berkata lazimnya kebanyakan peserta pasaran global mengambil cuti tahunan pada Disember sekali gus menyebabkan mudah tunai rendah dan turun naik harga yang lebih meluas.

“Pasaran ‘yo-yo’ atau tidak menentu ini memberi peluang baik kepada pembeli fizikal terutama memandangkan kedudukan stok semasa yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran akan memantau rapi data stok minyak sawit Malaysia bagi November yang akan dikeluarkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Disember.

Bagaimanapun, peniaga minyak sawit David Ng menjangka pasaran MSM diniagakan dengan kecenderungan arah aliran meningkat memandangkan kekuatan pasaran minyak kacang soya baru-baru ini dan pengeluaran yang dijangka menurun dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Kami mengunjurkan harga diniagakan antara RM4,080 satu tan dan RM4,250 satu tan minggu depan," katanya.

Pada Jumaat minggu lepas, dagangan di pasaran derivatif Bursa Malaysia dihentikan berikutan gangguan sistem Globex.

Bagi tempoh bermula Khamis minggu lepas hingga semalam (Jumaat), kontrak bulan semasa Disember 2025 meningkat RM50 kepada RM4,095 satu tan, Januari 2026 naik RM54 kepada RM4,135 satu tan dan Februari 2026 bertambah RM62 kepada RM4,152 satu tan.

Sementara itu, kontrak Mac 2026 dan April 2026 masing-masing menokok RM65 kepada RM4,168 satu tan dan RM4,171 satu tan manakala Mei 2026 meningkat RM67 kepada RM4,168 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan menyusut kepada 293,576 lot daripada 319,379 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 262,698 kontrak daripada 282,153 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Disember Selatan meningkat RM50 kepada RM4,150 satu tan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan