KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia susut ketika mengakhiri dagangan pagi ini, diasak aktiviti pengambilan untung walaupun Wall Street mencatat penutupan lebih positif pada Jumaat lepas.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 6.72 mata atau 0.42 peratus kepada 1,609.80 daripada paras 1,616.52 sebelum ini.
Indeks penanda aras itu yang dibuka susut 0.49 mata kepada 1,616.03, juga diniagakan pada paras 1,601.50 hingga 1,616.49 pada sesi dagangan awal.
Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 666 berbanding 261 manakala 508 kaunter tidak berubah, 1,310 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 2.20 bilion unit yang bernilai RM931.71 juta.
Firma pembrokeran Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan FBM KLCI menyaksikan dagangan lebih mengukuh pada minggu ini.
Pada masa sama, syarikat teknologi terpilih akan menjadi tumpuan berikutan terus meraih manfaat daripada aliran global terhadap kecerdasan buatan (AI) serta pemprosesan data yang lebih maju.
Selain itu, katanya, pembetulan teknikal dalam amanah pelaburan hartanah (REIT) pula berkemungkinan mencetuskan peluang penyertaan lebih ketara untuk para pelabur.
Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut 12 sen kepada RM10.06, Public Bank rugi dua sen kepada RM4.37, CIMB Group turun empat sen kepada RM7.87, Tenaga Nasional merosot empat sen kepada RM12.60 manakala IHH Healthcare naik lima sen kepada RM8.45.
Bagi saham paling aktif, syarikat yang mula disenaraikan di Pasaran ACE BMS Holdings turun empat sen kepada 18 sen, Tanco naik dua sen kepada RM1.19 dan PUC berkurangan setengah sen kepada dua sen manakala Velesto Energy tidak berubaha pada 25 sen dan Capital A naik 2.5 sen kepada 40.5 sen.
Antara kaunter paling untung, Nestle menokok RM2.00 kepada RM114.00, Hong Leong Industries menokok 14 sen kepada RM16.36, Sunway naik 14 sen kepada RM5.57, Malaysian Pacific Industries meningkat 12 sen kepada RM32.02 dan United Plantations meraih 12 sen kepada RM28.56.
Sebaliknya kaunter paling rugi adalah Fraser & Neave yang turun 30 sen kepada RM34.80, Ajinomoto susut 30 sen kepada RM13.60, Kuala Lumpur Kepong berkurangan 20 sen kepada RM18.98, Chin Teck Plantation rugi 20 sen kepada RM10.78 dan PPB Group kehilangan 18 sen kepada RM9.98.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 42.45 mata kepada 11,919.78, Indeks FBM Emas Shariah susut 14.30 mata kepada 11,782.75, Indeks FBMT 100 berkurangan 41.26 mata kepada 11,702.56, Indeks FBM ACE kehilangan 48.51 mata kepada 4,767.63 manakala Indeks FBM 70 menguncup 25.37 mata kepada 16,697.23.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 120.11 mata kepada 18,891.21, Indeks Tenaga susut 3.45 mata kepada 755.09, Indeks Perladangan turun 47.57 mata kepada 8,048.68 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.46 mata kepada 166.24.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial