PASARAN > BERITA

RINGGIT KEKAL STABIL BERBANDING DOLAR AS KETIKA FOMC MULA MESYUARAT DUA HARI

09/12/2025 08:31 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Ringgit terus kekal stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika ditutup pada Selasa, ketika pasaran mengambil pendekatan berhati-hati apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) hari ini memulakan mesyuarat selama dua harinya.

Pada 6 petang, ringgit hampir tidak berubah pada 4.1105/1165 berbanding dolar AS daripada 4.1100/1145 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang tempatan terus bergerak dalam julat kecil antara RM4.1123 hingga RM4.1225 sepanjang hari ini.

Beliau berkata pergerakan itu mencerminkan sikap berhati-hati dalam kalangan pelabur ketika anggota FOMC bermesyuarat untuk membuat keputusan mengenai Kadar Dana Persekutuan.

Kalangan peserta pasaran juga akan memantau Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Jumlah Tenaga Kerja AS (JOLTS) malam ini untuk mendapatkan data dan gambaran lebih jelas mengenai ekonomi AS, katanya.

“Tawaran pekerjaan dijangka menjadi sederhana kepada 7.2 juta pada Oktober berdasarkan jangkaan konsensus, berbanding 7.227 juta pada bulan sebelumnya.

“Secara ringkas, tanda-tanda kelemahan pasaran buruh semakin ketara dan ini memerlukan pengurangan kadar faedah.

“Bagaimanapun, persoalan utama kini adalah sama ada Rizab Persekutuan AS (Fed) akan cenderung untuk menurunkan lagi kadar faedahnya pada 2026 atau sebaliknya ketika risiko inflasi lebih tinggi boleh mengehadkan kadar pelonggaran dasar monetarinya,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4863/4943 daripada 5.4729/4789 ketika ditutup semalam, dan rendah berbanding euro kepada 4.7900/7970 daripada 4.7873/7926.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.6332/6373 daripada 2.6429/6460.

Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1705/1753 daripada 3.1698/1735 pada penutupan Isnin, dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 246.4/246.9 daripada 246.1/246.5.

Unit domestil susut berbanding baht Thailand kepada 12.9172/9413 daripada 12.9006/9204 semalam namun, ringgit sedikit tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.94/6.96 daripada 6.97/6.98.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan