PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DIJANGKA BERGERAK MENDATAR DENGAN CENDERUNG MENAIK MINGGU DEPAN

13/12/2025 10:38 AM

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia dijangka bergerak mendatar dengan kecenderungan menaik dari segi permintaan dan harga minggu depan, didorong oleh musim tengkujuh dan hujan lebat di negara-negara pengeluar getah utama, menurut pakar industri Denis Low.

Beliau berkata Hat Yai, Thailand telah dilanda banjir selama lebih seminggu, manakala angin kencang serta hujan lebat berterusan sedang melanda ladang dan kilang pemprosesan getah, sekali gus menghentikan pengeluaran komoditi itu.

“Walaupun musim tengkujuh dan banjir bukanlah sesuatu yang mengejutkan, situasi pasaran yang berlaku lebih mendatangkan kejutan. Berbanding dengan turun naik dan kenaikan harga yang biasa berlaku, pasaran kekal lengang dengan peningkatan harga dan permintaan yang sangat tidak ketara.

“Ini membawa kita kepada hakikat bahawa pasaran terus tertekan akibat pertikaian berterusan yang melibatkan Jepun, China dan Taiwan, ditambah pula dengan ketidaktentuan mengenai perjanjian damai Ukraine-Rusia,” katanya kepada Bernama.

Low berkata Jabatan Meteorologi Thailand telah mengeluarkan amaran hujan lebat di 35 wilayah, dengan wilayah selatan mengalami hujan lebat paling banyak, manakala Jabatan Meteorologi Malaysia pula memberi amaran hujan berterusan bagi kawasan pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 8.5 sen kepada 724 sen sekilogram, manakala lateks pukal berada pada 575.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan