KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung yang normal, dalam keadaan ketiadaan pemangkin domestik baharu.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.08 mata kepada 1,672.27, berkurangan daripada 1,672.35 semasa ditutup pada Selasa. Petunjuk pasaran itu memulakan dagangan dengan 0.88 mata lebih rendah kepada 1,671.47.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 524 kepada 355. Sebanyak 508 kaunter tidak berubah, 1,262 kekal tidak diniagakan, dan 10 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.57 bilion saham bernilai RM1.18 bilion.
Apex Research dalam nota penyelidikan berkata pelabur terus menumpukan kepada jangkaan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan laporan senarai gaji bukan ladang AS pada Jumaat, yang boleh mempengaruhi sentimen risiko global.
"Minat belian di pasaran tempatan dijangka dipacu oleh petunjuk global yang menyokong, perkembangan geopolitik di Venezuela baru-baru ini dan keyakinan yang berterusan dalam sektor terpilih, terutama teknologi," katanya.
Saham wajaran tinggi Petronas Dagangan meningkat enam sen kepada RM19.90, TNB naik lapan sen kepada RM13.66 dan Public Bank dan Maybank masing-masing tidak berubah pada RM4.52 dan RM10.70 manakala Hong Leong Bank susut empat sen kepada RM22.70.
Sementara itu, bagi saham paling aktif, Tanco meningkat dua sen kepada RM1.21, IJM Corp melonjak 17 sen kepada RM2.71, THMY menambah tiga sen kepada RM1.05, OCR dan Bina Puri tidak berubah pada 4.5 sen dan 29.5 sen manakala Capital A susut 3.5 sen kepada 41 sen.
Antara kaunter paling untung menyaksikan BLD Plantation meningkat RM1.18 kepada RM15.80, United Plantations naik 72 sen kepada RM31.20, Hong Leong Industries menokok 36 sen kepada RM16.64 dan IGB menambah 20 sen kepada RM3.25.
Bagi kaunter paling rugi, Alliance susut 20 sen kepada RM20.20, Kelington rendah 17 sen kepada RM4.80, Hong Leong Financial Group berkurangan 12 sen kepada RM19.16 dan QL Resources menyusut 11 sen kepada RM3.80.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 0.26 mata kepada 12,328.08, Indeks FBM Top 100 naik 1.83 mata kepada 12,121.46 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 3.24 mata kepada 12,132.83.
Indeks FBM Mid 70 meningkat 13.40 mata kepada 17,141.58 dan Indeks FBM ACE susut 23.58 mata kepada 4,927.32.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 15.11 mata kepada 19,755.51, Indeks Tenaga berkurangan 4.94 mata kepada 762.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.20 mata kepada 172.35 dan Indeks Perladangan naik 59.33 mata kepada 8,350.44.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial