Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila pasaran mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi penting AS lewat malam ini, kata seorang penganalisis.
Pada 6 petang, mata wang tempatan itu susut kepada 4.0560/0610 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0495 ketika ditutup Selasa.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata data tenaga kerja AS seperti ADP dan JOLTS, serta Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Perkhidmatan ISM AS, akan dipantau dengan teliti untuk mengukur keadaan pasaran buruh dan momentum sektor perkhidmatan.
“Data yang kuat akan mengukuhkan kelebihan dolar dan mengekalkan ringgit dalam kedudukan defensif menjelang sesi Asia esok, manakala sebarang kejutan penurunan akan segera melemahkan sokongan dolar dan membolehkan mata wang serantau pulih,” katanya kepada Bernama.
Selain daripada turun naik jangka pendek, Mohd Sedek berkata pendirian dasar China kekal sebagai faktor penstabil penting untuk ringgit.
Beliau berkata hasrat Bank Rakyat China untuk menurunkan nisbah keperluan rizab dan kadar dasar pada 2026 bagi menyokong mudah tunai, permintaan domestik dan kestabilan yuan meningkatkan asas makro bagi Asia secara keseluruhan.
“Renminbi yang lebih stabil mengurangkan kesan limpahan pertukaran asing serantau dan menyokong aliran perdagangan serta modal ke ASEAN, membantu meletakkan paras sokongan jangka sederhana untuk ringgit walaupun pergerakan jangka pendek terus dipengaruhi oleh data AS dan dinamik dolar,” tambah beliau.
Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding yen Jepun kepada 2.5920/5954 daripada 2.5865/5899 ketika ditutup Selasa, turun berbanding euro kepada 4.7394/7453 daripada 4.7373/7432 dan naik sedikit berbanding pound Britain kepada 5.4732/4799 daripada 5.4742/4810.
Mata wang tempatan itu turut diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding mata wang di negara-negara ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 241.7/242.1 daripada 243.1/241.7 pada Selasa dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.83/6.84, sama seperti penutup semalam.
Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1641/1682 daripada 3.1608/1649 dan menurun berbanding baht Thailand kepada 12.9630/9852 daripada 12.9383/9592 sebelum ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial