PASARAN > BERITA

PASARAN GETAH DIJANGKA ALAMI SEDIKIT TURUN NAIK DENGAN KECENDERUNGAN MENAIK MINGGU DEPAN

10/01/2026 10:23 AM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi & Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pasaran getah dijangka mengalami sedikit turun naik minggu depan, dengan kecenderungan untuk harga bergerak sedikit meningkat susulan keadaan cuaca terus menjejaskan pengeluaran, kata pakar industri Denis Low.

Katanya, walaupun hujan semakin reda, ia masih menghalang aktiviti menoreh getah di beberapa kawasan. 

“Kami percaya perubahan iklim berlaku secara pantas, kerana kita melihat musim monsun yang lebih pendek tetapi musim daun pokok getah gugur yang lebih cepat. 

“Musim daun pokok getah gugur biasanya berlaku pada akhir Februari hingga April. Bagi tahun ini dan di beberapa kawasan, kita mungkin melihat ia berlaku pada akhir Januari atau awal Februari,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata seperti kebiasaannya, kedua musim monsun dan musim daun pokok getah luruh terus menjejaskan produktiviti getah.

Oleh itu, beliau menasihatkan pendekatan berhati-hati diambil dan menyimpan sedikit stok apabila getah sudah tersedia. 

“Musim daun pokok getah gugur boleh mengurangkan hasil sehingga 45-50 peratus.

“Walaupun keadaan cuaca sememangnya tidak menguntungkan dan menyebabkan bekalan terhad, keadaan geopolitik dunia lebih tidak stabil dan tidak menentu.

“Sekali lagi, ia menyamai dengan situasi penawaran-permintaan,” katanya.  

Menurut Low, Jabatan Meteorologi Thailand melaporkan negara itu mengalami cuaca yang lebih sejuk, angin kencang dan udara yang lebih kering, manakala memberi amaran mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di seluruh Semenanjung Malaysia. 

Bagi minggu yang baharu berakhir, seorang peniaga berkata pasaran getah diniagakan bercampur-campur susulan prestasi niaga hadapan getah serantau. 

Katanya, terdapat kebimbangan mengenai pengurangan bekalan bahan mentah di negara pengeluar getah asli utama berikutan hujan.  

“Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh sentimen pasaran yang berdepan tekanan berikutan ketidaktentuan melibatkan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS), ketegangan geopolitik yang berterusan dan prestasi bercampur-campur harga minyak mentah,” katanya. 

Dalam pada itu, harga minyak terjejas minggu ini selepas AS menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dengan rancangan untuk mengawal minyak Venezuela bagi tempoh jangka panjang. 

Seorang peniaga berkata harga getah berkemungkinan bergerak berdasarkan niaga hadapan getah serantau, kekuatan ringgit berbanding dolar AS dan perubahan harga minyak mentah. 

“Harga turut disokong oleh kebimbangan mengenai bekalan getah asli berikutan hujan lebat di negara-negara pengeluar utama, terutamanya risiko pengurangan mendadak dalam pengeluaran di Thailand selepas banjir teruk,” tambahnya. 

Beliau berkata peniaga akan memantau dengan teliti hubungan perdagangan antara AS-China, data ekonomi global, perkembangan dalam industri semikonduktor, dan dasar ekonomi di negara-negara pengguna getah utama di tengah-tengah risiko geopolitik berterusan. 

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 17 sen kepada 760.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal tidak berubah pada 575 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan