Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini selepas pasaran bimbang bahawa pengukuhan ringgit berbanding dolar US akan menjejaskan permintaan komoditi itu dalam tempoh terdekat, kata seorang peniaga.
Pada 6 petang, ringgit melantun semula kepada 3.9295/9360 berbanding dolar US, meningkat berbanding 3.9440/9500 yang dicatatkan pada Jumaat lepas apabila dagangan disambung semula berikutan cuti Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan pada Isnin.
Peniaga proprietari David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata paras inventori yang tinggi di negara ini turut menjejaskan sentimen pasaran.
“Kami melihat harga (MSM) disokong melebihi paras RM4,150 dan rintangan pada RM4,300,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak Februari 2026 turun RM20 kepada RM4,140 satu tan, Mac 2026 dan April 2026 susut RM14 setiap satu kepada RM4,195 serta RM4,215.
Kontrak Mei 2026 jatuh RM11 kepada RM4,217 setan, Jun 2026 dan Julai 2026 turun RM9 setiap satu kepada RM4,204 serta RM4,185.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 58,671 lot berbanding 84,668 yang disaksikan semasa Jumaat lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 219,350 kontrak daripada 220,712 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan menurun sebanyak RM10 kepada RM4,190 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial