PASARAN > BERITA

DAIH TERIMA PENYERTAAN TIGA INISIATIF UJI APLIKASI SEBENAR STABLECOIN RINGGIT, DEPOSIT TOKEN 2026 -- BNM

11/02/2026 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Hab Inovasi Aset Digital (DAIH) menerima penyertaan tiga inisiatif bagi menguji aplikasi sebenar yang melibatkan stablecoin ringgit dan deposit token pada 2026, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu kenyataan hari ini, bank pusat itu berkata ketiga-tiga inisiatif ini akan memberikan tumpuan pada kes penggunaan pembayaran borong bagi transaksi domestik dan rentas sempadan termasuk membolehkan penyelesaian aset token.

Katanya, senarai inisiatif yang telah menyertai DAIH boleh didapati melalui bnm.gov.my/DAIH.

Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan dalam persekitaran yang terkawal dan melibatkan kerjasama dengan rakan ekosistem termasuk pelanggan korporat institusi kewangan serta badan pengawal selia lain. Kes penggunaan tertentu juga akan melibatkan penelitian daripada aspek syariah.

“Ujian yang dijalankan akan membolehkan BNM menilai kesan terhadap kestabilan monetari dan kewangan serta menyumbang kepada hala tuju dasar BNM dalam bidang ini,” katanya.

BNM juga sedang merancang untuk memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai penggunaan stablecoin ringgit dan deposit token menjelang akhir 2026.

Usaha ini juga akan menjadi langkah awal bagi penyepaduan dengan usaha BNM yang sedia ada pada masa hadapan seperti mata wang digital bank pusat borong.

“Sejak pelancaran DAIH pada Jun 2025, BNM mengadakan libat urus dengan lebih 30 peserta industri antarabangsa dan tempatan daripada sektor perbankan dan bukan perbankan.

“Melalui sesi libat urus ini, BNM dapat mengenal pasti dan mengutamakan kes penggunaan berimpak tinggi yang mempunyai nilai tambah yang jelas serta menyokong pendigitalan sektor ekonomi dan kewangan Malaysia, kata BNM.

BNM komited untuk terus memajukan inovasi yang bertanggungjawab dalam bidang aset digital melalui DAIH serta akan mengadakan libat urus yang berterusan dengan bakal pemohon dan pada masa yang sama memberikan tumpuan segera untuk menyokong inisiatif yang diterima masuk.

Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, CIMB Group Holdings Bhd memaklumkan pihaknya menerima kelulusan daripada BNM untuk menyertai DAIH sekali gus membolehkan kumpulan itu menguji kes penggunaan pembayaran dan penyelesaian aset digital yang dikawal selia dalam ekosistem yang dipantau.

Kumpulan perbankan itu berkata, ia akan meneroka tokenisasi terbitan sukuknya sendiri serta penggunaan representasi deposit yang ditokenkan bagi menyokong aliran kerja pembayaran dan penyelesaian hujung ke hujung dalam parameter ujian yang diluluskan.

Ketua pegawai eksekutifnya Novan Amirudin memberitahu, penyertaan kumpulan itu akan membolehkan mereka meneliti bagaimana tokenisasi dapat menyokong fasa seterusnya dalam infrastruktur pembayaran dan penyelesaian secara selamat dan terkawal.

Katanya, tumpuan pihaknya adalah untuk membina keupayaan, kawalan dan kesiapsiagaan operasi yang kukuh supaya bentuk nilai digital baharu dapat disepadukan ke dalam sistem kewangan secara bertanggungjawab.

“Ini merupakan langkah asas dalam menyediakan pelanggan dengan akses kepada pasaran modal digital dan rangkaian penyelesaian.

“Ia selaras dengan strategi kami dengan menterjemahkan inovasi kepada hasil pasaran sebenar yang memajukan pelanggan dan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan