Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Khamis berikutan konflik Asia Barat mempengaruhi harga minyak mentah dan mendorong aktiviti pengambilan untung, kata peniaga.
Harga getah sering dikaitkan dengan harga minyak berikutan getah asli bersaing dengan getah sintetik, yang dihasilkan daripada petroleum. Oleh itu, kenaikan harga minyak cenderung untuk menyokong harga getah.
Beliau berkata sentimen pasaran, bagaimanapun, kekal berhati-hati disebabkan ketidaktentuan inflasi berikutan harga minyak yang melonjak dan ketegangan yang meningkat di Asia Barat terus menjejaskan prospek.
“Harga minyak mentah Brent meningkat pada Khamis selepas Iran menyerang beberapa kemudahan tenaga di Asia Barat susulan serangan ke atas medan gas South Pars miliknya, situasi yang menjadi lebih tegang dalam perang Tehran dengan Amerika Syarikat dan Israel,” katanya kepada Bernama.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 7.58 peratus kepada US$115.50 setong.
Beliau berkata pasaran turut dipengaruhi oleh tekanan bekalan yang dijangka berkurangan berikutan tempoh pengeluaran getah pada tahap tertinggi pada April dan Mei yang tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang oleh kebimbangan berterusan mengenai bekalan getah asli yang terhad,” katanya.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 merosot tiga sen kepada 758.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat satu sen kepada 677 sen sekilogram.
Pasaran getah Kuala Lumpur akan ditutup dari Jumaat (20 Mac) hingga Isnin (23 Mac) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dan akan memulakan operasi pada Selasa (24 Mac).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial