PASARAN > BERITA

RINGGIT, MATA WANG SERANTAU RENDAH BERIKUTAN PERMINTAAN TERHADAP ASET SELAMAT MENINGKAT

27/03/2026 09:40 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Ringgit serta mata wang serantau yang lain ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat apabila pelabur di peringkat global dan serantau kembali beralih kepada pelaburan selamat ekoran ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat yang berterusan.

Pada 6 petang, unit tempatan susut kepada 4.0105/0140 berbanding dolar AS daripada 3.9920/3.9955 ketika ditutup semalam.

Begitu juga dolar Singapura yang turun dengan kadar USD/SGD berlegar sekitar 1.27 hingga 1.28 apabila pelabur memilih aset selamat, yang memberi kelebihan kepada dolar AS susulan isyarat yang bercampur-campur mengenai konflik berterusan di Asia Barat.

Indeks dolar AS, yang mengukur prestasi mata wang itu berbanding enam mata wang utama lain, meningkat 0.15 peratus kepada 100.05.

Faktor yang sama turut mendorong yuan China susut mencecah paras terendah dalam tempoh tiga minggu kepada 6.9141 berbanding dolar AS, manakala euro juga lemah berbanding dolar AS kepada paras US$1.15 hingga US$1.16 apabila pelabur beralih kepada aset selamat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata lanjutan tempoh 10 hari yang ditetapkan Presiden AS Donald Trump untuk Iran membuka semula Selat Hormuz tidak banyak meredakan turun naik ketara yang dialami pasaran minyak mentah.

“Kebimbangan kalangan anggota Rizab Persekutuan AS semakin meningkat terhadap risiko kenaikan inflasi mengatasi risiko guna tenaga yang rendah, sekali gus bank pusat AS itu berada dalam keadaan dilema dari segi dasar.

“Oleh itu, ringgit dijangka kekal lemah dan mungkin berlegar sekitar paras RM4.00 berikutan kesan buruk ekonomi yang semakin ketara susulan kejutan harga minyak,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, ringgit rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik turun berbanding yen Jepun kepada 2.5084/5109 daripada 2.5025/5049 ketika ditutup semalam, dan kurang stabil berbanding pound British kepada 5.3368/3414 daripada 5.3301/3348.

Ringgit turut susut berbanding euro kepada 4.6197/6237 daripada 4.6140/6180.

Ringgit juga rendah dan tidak berubah berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1164/1194 daripada 3.1102/1132 pada Khamis dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1903/2077 daripada 12.1529/1695.

Bagaimanapun, ringgit hampir tidak berubah berbanding rupiah Indonesia kepada 236.1/236.5 daripada 236.1/236.4 dan kekal berbanding peso Filipina pada 6.62/6.63.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan