LABUAN, 13 Okt (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan sedang bersiap sedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya bagi membantu Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua PKR Labuan Simsudin Sidek berkata pihaknya bersedia sepenuhnya untuk menghulurkan bantuan sepanjang tempoh kempen di mana-mana kawasan pilihan raya yang memerlukan sokongan.
“Segala gerak kerja jentera pilihan raya akan dijalankan dengan mematuhi peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan setiap aktiviti selaras dengan undang-undang pilihan raya," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata kesiapsiagaan PKR Labuan mencerminkan komitmen untuk memastikan kempen yang tersusun dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.
Meskipun Labuan secara geografinya terpisah daripada Sabah, cabang PKR di pulau itu, katanya sentiasa menjalin kerjasama politik yang erat dengan kepimpinan PH Sabah dan bersedia membantu dalam aktiviti kempen seperti turun padang bertemu pengundi, logistik serta penyelarasan di peringkat akar umbi.
Pada 6 Okt lepas, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN ke-17.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik.
SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas pada Khamis ini bagi membincangkan beberapa tarikh penting dan perkara lain berkaitan dengan PRN berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial