POLITIK > BERITA

BUKAN PERKARA BAHARU TIDAK DIJEMPUT KE MESYUARAT AGUNG PARTI LAIN - AHMAD ZAHID

17/10/2025 06:33 PM

SHAH ALAM, 17 Okt (Bernama) -- Tindakan sesebuah parti politik tidak menjemput pemimpin parti lain menghadiri mesyuarat agung parti berkenaan bukan suatu perkara baharu, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

‎Beliau berkata keputusan MIC tidak menjemput beliau atau mana-mana pemimpin parti lain termasuk daripada BN mungkin kerana kepimpinan tertinggi dan ahlinya mahu memberikan fokus untuk menyelesaikan beberapa isu penting berbangkit yang melibatkan parti itu.

“AGM kali ini mereka mahu menyelesaikan masalah dalaman mereka, tentunya kami beri ruang seluas-luasnya untuk mereka menyelesaikan masalah itu,” katanya semasa ditemui pada Ekspo Industri Sukan ASEAN 2025 di sini hari ini. 

‎Ditanya jika BN bersedia sekiranya MIC memutuskan untuk keluar daripada gabungan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya terbuka dengan apa jua keputusan yang dibuat kepimpinan MIC. 

“Kami terbuka, dulu kami ada 14 parti komponen dalam BN dan tidak ada paksaan sama ada untuk masuk atau keluar. Jadi, tentunya mereka akan buat sesuatu keputusan yang bijak bagi menentukan gabungan mana yang mereka akan sertai asalkan mereka tidak menyesal kemudian hari,” katanya. 

‎Presiden MIC SA Vigneswaran dilaporkan berkata sebelum ini parti itu tidak akan menjemput mana-mana pemimpin parti lain termasuk BN pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), yang akan diadakan pada 16 Nov depan.

‎Beliau berkata ia berikutan mesyuarat itu akan diadakan hanya selama sehari dan memfokuskan kepada hal-hal dalaman parti. 

‎-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan