KOTA KINABALU, 6 Nov (Bernama) -- Rakyat Sabah diseru terus memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini kerana ia penting bagi memastikan kesinambungan usaha kerajaan dalam melaksanakan program pembangunan sekali gus mengekal dan mempercepatkan kemajuan negeri di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata SMJ 1.0 yang bermula pada 2021, telah merekodkan pencapaian memberangsangkan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang digariskan oleh kerjaaan, dan hasilnya kini dapat dilihat dan dinikmati rakyat.
“Beri kita mandat baharu dan kita akan laksanakan pembangunan yang lebih pesat untuk Sabah di bawah SMJ 2.0. Fasa pertama SMJ 1.0 (2021–2025) telah berjaya dilaksanakan tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk memastikan pembangunan negeri terus diperkasa,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas pelancaran Pelan Pembangunan Strategik Daerah Kecil Kuala Penyu dan Menumbok 2025-2035 di Menumbok, dekat Beaufort.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS menyeru rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan retorik atau ucapan pemimpin parti pembangkang yang sering membuat tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan diterajui GRS, termasuk dakwaan bahawa kerajaan telah gagal.
Sebaliknya, beliau menggesa rakyat fokus kepada kejayaan dicapai oleh GRS sepanjang lima tahun lepas dalam memulihkan ekonomi selepas pandemik COVID-19 dan menangani ketidakstabilan politik sejak gabungan itu mengambil alih kerajaan.
Sehubungan itu, Hajiji berkata tiada sebab untuk tidak memilih semula GRS dalam PRN ke-17 ini kerana banyak kejayaan telah dicapai dan dinikmati rakyat, dan usaha itu mesti diteruskan demi manfaat berterusan untuk Sabah dan rakyatnya.
Hajiji menegaskan pentadbiran beliau telah mencapai apa yang kerajaan terdahulu tidak dapat lakukan, antaranya menarik sejumlah besar pelabur tempatan dan asing hasil pendekatan mesra pelabur oleh GRS, dengan puluhan syarikat tempatan dan antarabangsa melabur dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, yang bukan sahaja merancakkan ekonomi tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
“Kita dapat membantu golongan miskin di kampung kerana apabila kita mengutip lebih banyak hasil kita kembalikan kepada rakyat. Tahun ini kira-kira 100,000 rakyat berpendapatan rendah menerima bantuan RM300 setiap bulan. Menerusi Jabatan Kebajikan pula, sebanyak 70,000 orang dibantu termasuk individu orang kurang upaya (OKU) dan warga emas berbanding hanya 30,000 orang sebelum ini.
“Kita juga menyediakan rumah SMJ. Tahun ini, kita bina 40 rumah SMJ dan tahun depan kita akan tingkatkan kepada 50 rumah, termasuk 10 rumah untuk pasangan muda baru berkahwin yang tidak mampu memiliki rumah sendiri dan masih tinggal bersama ibu bapa mereka. Ini sesuatu yang belum pernah dilakukan sebelum,” katanya.
Tambah beliau bahawa sektor pendidikan turut diberi keutamaan dengan peruntukan mencecah RM1.3 bilion sepanjang lima tahun lepas, termasuk bantuan kepada pelajar melalui program biasiswa.
Pada majlis hari ini, Hajiji berkata Pelan Pembangunan Stategik Daerah Kecil Kuala Penyu dan Menumbok 2025-2035 merupakan dokumen penting yang selari dengan agenda pembangunan SMJ untuk memastikan kemajuan seimbang kepada rakyat di kedua-dua daerah.
Dalam majlis sama, beliau turut merasmikan pembukaan Masjid Nur Ihsan Menumbok, yang siap pembinaannya pada 27 Mac lepas dengan peruntukan RM3.26 juta daripada Jabatan perdana Menteri, serta menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Pendidikan Limus Jury yang membantu 5,350 pelajar di Kuala Penyu dan Menumbok melalui pelbagai inisiatif bantuan pendidikan.
Hajiji juga menyerahkan tiga warta tanah kediaman anak negeri di bawah Seksyen 78 membabitkan Kampung Mansud (6.268 hektar), Kampung Purun (13.740 hekta) dan Kampung Tanjung Aru (24.339 hektar).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial