KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- DAP akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada 29 Nov ini.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata parti itu akan mempertahankan enam DUN iaitu Luyang, Kepayan, Likas, Tanjung Papat, Elopura dan Sri Tanjong.
Beliau berkata parti itu juga akan bertanding di DUN Tanjung Aru buat kali pertama dan menyifatkannya sebagai bukan kerusi selamat.
Katanya parti itu juga akan bertanding di satu kawasan pedalaman yang bakal diumumkan kemudian dan mengesahkan calonnya ialah wanita.
“Semua calon anak jati Sabah. Tiada soal kita bukan parti Sabah, DAP Sabah dipimpin semua anak jati Sabah. Calon DAP juga 50 peratus wanita. Purata umur calon 39 tahun antara termuda dalam parti bertanding.
"Kami yakin dengan barisan calon yang disenaraikan mampu memberikan saingan sengit dan meneruskan kemenangan DAP di Sabah," katanya ketika berucap melancarkan Jentera DAP dan Pengumuman Calon DAP PRN Sabah Ke-17, di sini hari ini.
Loke berkata Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe yang juga penyandang kerusi DUN Luyang akan bertanding di DUN Likas manakala Timbalan Pengerusi negeri Datuk Chan Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu di DUN Tanjung Aru.
Di Elopura pula, menurut Loke parti itu menampilkan Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong yang juga Setiausaha DAP Sabah sementara Naib Pengerudi DAP Sabah Datuk Jannie Lasimbang akan mempertahankan DUN Kapayan.
Tiga muka baharu iaitu Naib Ketua Pemuda DAP Tang Szu Ching akan berentap di Tanjung Papat, Ketua Pemuda DAP Sabah Chan Loong Wei (Luyang) dan Ahli Jawatankuasa DAP Sabah Philip Yap (Sri Tanjong).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 Nov ini manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial