PENAMPANG, 8 Nov (Bernama) -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berkata demikian bagi menyangkal laporan sebuah portal berita yang mengaitkan beliau sebagai calon parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis.
“Saya tidak berhajat untuk bertanding di kerusi DUN termasuk Pantai Manis. Kalau saya ada 48 jam sehari, mungkin saya boleh pertimbangkan. Saya sama macam anda semua, hanya ada 24 jam sehari, tanggungjawab sedia ada itu sudah cukup mencabar dan besar.
“Saya harap (akan) ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis daripada GRS yang boleh bekerja rapat, sekarang ada (ADUN) Kawang dan Limbahau (daripada GRS), tambah Pantai Manis (jika ada), insya-Allah kita jadi pasukan terbaik untuk bawa perubahan bermakna kepada Parlimen Papar khususnya,” katanya.
Armizan yang merupakan Ahli Parlimen Papar berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program My Gaya Sabah 2025 Promosi Industri Fesyen Tempatan Melalui Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang dirasmikan isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 15 Nov ini, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 Nov.
Kerusi DUN Pantai Manis disandang Datuk Mohd Tamin Zainal dari Barisan Nasional (BN) yang memenanginya pada PRN lepas dengan majoriti 686 undi.
GRS akan mengumumkan senarai calon untuk PRN ke-17 pada 12 Nov ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial