KOTA KINABALU, 8 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah demi kestabilan dan pembangunan berterusan di negeri itu serta negara, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata prinsip perjuangan itu terus menjadi pegangan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
“Tradisi memperjuangkan kepentingan rakyat akan kita teruskan, kerana perkara paling utama bagi setiap negeri dan negara ialah kestabilan yang perlu dipelihara dan dipertahankan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat UMNO negeri Sabah, hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri itu, turut membincangkan persiapan terakhir menghadapi PRN Sabah ke-17, termasuk aspek kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta pembahagian kerusi yang telah dimuktamadkan.
Beliau berkata pelancaran Jentera BN bagi PRN Sabah akan diadakan pada 2.30 petang esok di sebuah hotel di sini, sebagai simbol kesiapsiagaan BN untuk memasuki fasa kempen.
Dalam pada itu, Zambry berkata BN pusat menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan BN Sabah untuk mengumumkan senarai calon bagi PRN kali ini.
“Kita serahkan kepada pimpinan di Sabah kerana mereka mempunyai autonomi untuk mengumumkan nama-nama calon. Jadi, bila mereka akan mengumumkan, itu saya serahkan kepada mereka untuk tentukan,” katanya.
Berdasarkan jemputan media oleh UMNO, pengumuman calon parti akan dibuat pada 12 tengah hari esok oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial