POLITIK > BERITA

PRN SABAH: CALON BAHARU BUKTI BN SERIUS BAWA PERUBAHAN

10/11/2025 04:43 PM

KOTA TINGGI, 10 Nov (Bernama) -- Penampilan calon-calon baharu oleh Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 merupakan langkah wajar yang mencerminkan kesungguhan parti itu untuk membawa perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan negeri berkenaan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu menunjukkan BN serius dalam usaha menawarkan calon berwibawa dan berpotensi untuk memacu kemajuan Sabah agar seiring dengan pembangunan yang dinikmati negara.

“Itu menunjukkan BN sangat serius untuk membawa perubahan serta memberi peluang kepada calon-calon baharu dan muda yang mungkin mampu membawa kemajuan lebih baik kepada Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Sekolah Angkat MADANI Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan, berkata pembangunan negeri seperti Sabah hanya dapat dijayakan sekiranya wujud hubungan rapat dengan kerajaan Persekutuan agar dasar serta program pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

“Sabah dan mana-mana negeri jika ingin dibangunkan dengan baik, perlu ada hubungan rapat dengan kerajaan pusat,” katanya.

Mengenai siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ BN bagi PRN Sabah, Mohamed Khaled berkata perkara itu akan diumumkan oleh pengerusi parti pada masa yang sesuai.

Semalam, BN Sabah mengumumkan 41 calon parti itu, kebanyakannya muka baharu dan calon muda selain mengekalkan beberapa pemimpin berpengalaman untuk bertanding pada PRN ke-17.

Parti itu menampilkan 85 peratus calon muka baharu termasuk anak muda profesional bagi membuktikan parti itu bersedia membuat perubahan signifikan dalam aspek pembangunan seterusnya mengeluarkan Sabah daripada kepompong kemiskinan.

PRN Sabah akan berlangsung pada 29 Nov ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan