KOTA KINABALU, 10 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini membuat keputusan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) berkuat kuasa serta-merta, kata Setiausaha Agungnya Datuk Nelson W Angang.
Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO hari ini dan keputusan berkenaan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan parti komponen PH yang lain.
“Setelah mempertimbangkan penyertaan dalam PH selama empat tahun dan seruan rakyat Sabah agar penyatuan parti-parti tempatan Sabah dimulakan melalui pilihan raya ini, maka Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO memutuskan untuk mengundur diri daripada PH serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, tarikh penamaan calon pula pada 15 Nov manakala tarikh pengundian awal pada 25 Nov.
Pada PRN Sabah pada 2020 menyaksikan UPKO bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun hanya memenangi satu kerusi iaitu DUN Kadamaian menerusi Presiden parti itu Datuk Ewon Benedick.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial