KOTA KINABALU, 11 Nov (Bernama) -- Perpaduan antara parti-parti tempatan di Sabah merupakan kunci kepada kestabilan politik dan pembangunan berterusan di negeri itu, kata Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Sabah berkata walaupun sesebuah parti mempunyai calon terbaik, namun tanpa perpaduan dan kerjasama, usaha politik tetap tidak akan berhasil.
“Kredibiliti, tanggungjawab dan kerja bersepadu adalah kunci kejayaan dalam politik. Calon mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dengan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Solidariti dan perpaduan politik adalah asas kejayaan. Kita mesti bekerjasama untuk masa depan negeri yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Semalam, Dr Joachim melancarkan jentera pilihan raya PBS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kota Belud, yang turut dihadiri Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki, dan Naib Presiden merangkap Ketua Pemuda PBS Datuk Dr Christoper Mandut.
Dr Joachim berkata, GRS yang ditubuhkan hampir empat tahun lepas melalui penyatuan PBS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Parti Liberal Diplomatik (LDP) dan Parti Cinta Sabah (PCS), bukan sahaja mengukuhkan pengaruh politik, malah memastikan kerjasama dalam pembangunan negeri.
Menurut penyandang DUN Kundasang itu, konflik politik tidak akan membawa sebarang manfaat, sebaliknya kestabilan serta perpaduan antara parti tempatan penting bagi menarik pelabur, memperkukuh pembangunan infrastruktur serta memastikan tenaga dan sumber negara dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.
“Matlamat kita adalah untuk menstabilkan politik, menarik pelabur asing dan meningkatkan pendapatan negeri.
“Kita telah berjaya menggandakan pendapatan negeri daripada kurang RM4 bilion kepada hampir RM8 bilion, dengan rizab kini RM8.6 bilion,” jelasnya.
Beliau berkata program pembangunan dilaksanakan GRS seperti Rumah Mesra SMJ dan sokongan pendidikan merupakan komitmen untuk terus membangunkan modal insan, selain menyediakan peluang pekerjaan bagi generasi muda Sabah.
Sehubungan itu, Dr Joachim menegaskan, GRS akan terus beriltizam membangunkan modal insan sebagai asas menarik pelabur asing dan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Sabah, sambil menekankan bahawa tanpa tenaga kerja terlatih, pelaburan sukar berkembang di negeri itu.
Menurut beliau, PBS sebagai antara parti tertua dan paling aktif di Sabah dengan lebih 40 tahun sejarah perjuangan, terus mengekalkan tekad terhadap pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat, seterusnya bergerak memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah.
“Misi PBS kekal konsisten iaitu menuntut hak rakyat, memperbaiki kemudahan infrastruktur termasuk sekolah dan klinik kesihatan, serta memastikan pembangunan inklusif untuk semua lapisan masyarakat di Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial