POLITIK > BERITA

PANDIKAR AMIN HADAPI SAINGAN 11 PENJURU DI DUN PINTASAN

15/11/2025 05:45 PM

KOTA BELUD, 15 Nov (Bernama) -- Bekas Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berdepan saingan 11 penjuru di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Bertanding mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau ditentang calon Barisan Nasional (BN) Tadzul Radim, Awang Salleh Makmud (Perikatan Nasional), Raplin Samat (Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR) dan Abdullah Otong (WARISAN).

Pandikar turut dicabar oleh calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Almudin Kaida, Lomog Rudin @ Efejus Rudin (Parti Impian Sabah atau PIS), Mohd Rizal Saiman (Bebas), Syarif Mohd Shukree Danchingan (Bebas), Tajuddin Padis (Bebas) dan penyandang kerusi itu, Datuk Fairuz Renddan, yang bertanding atas tiket Bebas selepas tidak dicalonkan GRS.

Di DUN Tempasuk pula, penyandangnya Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS) berdepan pertandingan tujuh penjuru menentang John Samud (KDM), Dr Rimin Maun (Parti Kebangsaan Sabah atau PKS), Azuwan Marjan @ Norjan (BN), Timuti Majitol (PIS), Mohd Khidir Lamsil (WARISAN) dan Walter Mark Mukis (STAR).

Bagi DUN Usukan, bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak (BN) yang juga Bendahari UMNO Sabah mempertahankan kerusi berkenaan dalam saingan enam penjuru berdepan Jaefris Muadis (PIS), Isnaraissah Munirah Majilis (WARISAN), Ajun Meliyon (Bebas), Datuk Japlin Akim (GRS) dan Mohd Lin Harun (STAR).

Sementara itu, Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick turut mencuri perhatian di DUN Kadamaian apabila berdepan perlawanan lapan penjuru menentang Norman Simon (WARISAN), Judin Tingih (Parti Bangsa Malaysia), Daibi Mandadi (PIS), James Muyau (GRS), Davylandon Rubbin (STAR), Josley Taising (KDM) dan Priskila Akwila Sinem (Parti Kerjasama Anak Negeri atau Anak Negeri).

Pengumuman calon PRN Sabah ke-17 itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak iaitu Peter Jiton di sini hari ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan