SHAH ALAM, 16 Nov (Bernama) -- Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran menyerahkan kepada perwakilan yang hadir pada perhimpunan tahunan untuk menentukan hala tuju dan masa depan parti itu dalam Barisan Nasional (BN).
Beliau dalam ucapan dasar meminta ahli membuat keputusan demi memastikan kelangsungan dan kekuatan MIC.
“Keputusan anda hari ini akan menentukan hala tuju, kekuatan dan kerelevanan kita (MIC) untuk tahun-tahun yang akan datang. Jika anda tidak dapat membuat keputusan, maka kami meminta anda untuk percaya dan memberi mandat tersebut kepada Jawatankuasa Kerja Pusat dan kepimpinan tertinggi parti.
“Hal ini supaya kami boleh bertindak dengan amanah yang dipertanggunjawabkan demi memastikan apa yang terbaik untuk masa depan parti kita,” katanya berucap di hadapan 1,808 perwakilan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini hari ini.
Vigneswaran turut mengimbau perjalanan MIC dalam gabungan Perikatan sebelum menjadi BN, dengan perjuangan asal berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara.
“Jika itu tuntutan takdir, maka kita bukan melarikan diri daripada sejarah, kita kembali kepadanya.
“Marilah kita terus melangkah dengan kesyukuran atas apa yang telah berlalu, penghormatan terhadap rakan seperjuangan dan keyakinan menuju masa depan. Hal ini kerana kisah MIC bukan berakhir, sebaliknya satu permulaan baharu. Kisah tentang keberanian... keyakinan. Kisah tentang sebuah komuniti yang tidak pernah putus asa,” katanya.
Beliau turut menyeru pemimpin dan akar umbi MIC bertutur dalam bahasa anak muda bagi memperbaharui perjuangan mereka.
Anak muda Malaysia, katanya bijak, lantang dan tidak gentar menegur serta tidak akan menyokong parti yang enggan berubah.
“Mereka mahukan keikhlasan, tindakan, dan maklum balas segera terhadap mesej WhatsApp. Jika kita balas selepas seminggu, mereka ingat kita telah letak jawatan,” katanya sambil menegaskan mesej parti perlu jelas dan dekat dengan jiwa anak muda menerusi platform seperti Instagram, TikTok, YouTube, X dan podcast.
Beliau turut menggesa Wanita MIC berkembang sebagai pergerakan nasional dan advokasi yang menyediakan sokongan undang-undang, pendidikan, bimbingan kerjaya serta latihan literasi digital dan keselamatan siber kepada wanita.
“Kaum wanita India tidak pernah meminta layanan istimewa, hanya keadilan, peluang, dan penghormatan. Apabila wanita bangkit, bukan hanya mereka yang mendapat manfaat tetapi keluarga juga mendapat kestabilan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial