KOTA KINABALU, 17 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud berkata pihaknya mengambil maklum keputusan Abdul Halim untuk menarik diri dan menghormati keputusan itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.
“Kami menghormati keputusan tersebut yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam PH serta rakan kerjasama politik di Sabah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan PKR Sabah dalam memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
“Walaupun tidak bertanding, Abdul Halim telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu beliau sumbangkan,” katanya.
Mustapha juga berkata seluruh jentera serta penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya diseru agar kekal tenang, fokus selain terus memperkukuh perpaduan demi memastikan kemenangan gabungan dan masa depan rakyat Sabah.
Susulan penarikan diri Abdul Halim, PH kini bertanding di 21 kerusi DUN.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial