TAWAU, 20 Nov (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ruji Ubi, yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, disifatkan sebagai calon kompeten dan berkeupayaan membawa pembaharuan di Sabah.
Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Ruji merupakan sosok berpengalaman dalam perkhidmatan awam serta memiliki latar pendidikan kukuh, selain sebagai anak jati Merotai yang memahami keperluan dan isu di kawasan itu.
“Saya merayu kepada pengundi DUN Merotai agar tidak melepaskan peluang memilih calon terbaik,” katanya kepada pemberita selepas program Malam Santai Belia di Dewan Terbuka Merotai Besar di sini, malam tadi.
Saifuddin Nasution berkata Ruji mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran hasil perkhidmatannya sebagai pegawai tadbir dan diplomatik yang menyaksikan beliau memegang jawatan tertinggi kerajaan.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan seterusnya sebagai Ketua Setiausaha di beberapa kementerian strategik seperti Kementerian Perpaduan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan,” katanya.
“Beri peluang kepada beliau (Ruji). Ini satu rayuan yang kami anggap munasabah kerana kejayaan meletakkan beliau sebagai wakil rakyat di sini tentu membolehkan penduduk DUN Merotai mempunyai wakil yang memahami urusan rakyat serta selok-belok pentadbiran kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Ruji berkata 50 peratus pengundi di DUN Merotai terdiri daripada golongan berusia bawah 40 tahun, dan sokongan generasi muda amat penting memandangkan mereka memerlukan peluang pekerjaan termasuk dalam bidang keusahawanan.
“Keperluan anak muda boleh saya sampaikan terus kepada Perdana Menteri,” katanya sambil menambah bahawa beliau turut mengambil maklum isu pewartaan kampung dan tanah adat.
Merotai merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Kalabakan, selain Tanjung Batu dan Setabik, dan terletak kira-kira 300 kilometer dari Kota Kinabalu.
Tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala hari pengundian 29 Nov.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N72: MEROTAI: SABAH: 26,179
1. Rhyme @ Reymie Kassim (PIS)
2. Hasan Haris (PN-PAS)
3. Sarifuddin Hata (Warisan)
4. Datuk Ruji Ubi (PH-PKR)
(2020: Sarifuddin Hata: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 1,587)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial