POLITIK > BERITA

TEO SERU PENGUNDI SABAH HARGAI KOMITMEN DAP TERHADAP KESAKSAMAAN GENDER

20/11/2025 10:47 PM

KOTA KINABALU, 20 Nov (Bernama) -- Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching menyeru pengundi di Sabah agar menilai keputusan parti itu meletakkan empat calon wanita daripada lapan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dengan menyatakan langkah itu menunjukkan keikhlasan dan komitmen parti dalam memperkasakan wanita serta merapatkan jurang gender.

Teo berkata pendirian diambil oleh sesebuah parti politik dalam mengetengahkan calon wanita mencerminkan komitmen untuk memperkasakan pemimpin wanita.

“Amat penting untuk kita memberikan sokongan kepada parti politik yang benar-benar bersedia dan ikhlas dalam memperkasakan wanita. Hal ini kerana jika wanita hanya merupakan peratusan kecil dalam kalangan calon, itu bermakna ia sekadar simbolik sahaja,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Teo yang hadir pada pelancaran manifesto calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Kapayan Datuk Jannie Lasimbang turut menekankan bahawa nisbah 50 peratus calon wanita DAP Sabah jauh mengatasi parti lain.

“Saya beri beberapa contoh, Parti Warisan (Warisan) meletakkan 73 calon tetapi hanya sembilan daripadanya adalah wanita, Perikatan Nasional (enam daripada 42 calon), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat atau KDM (dua daripada 40 calon).

“DAP satu-satunya parti yang cukup konsisten dan berani menampilkan 50 peratus calon wanita,” katanya.

Teo yang juga Timbalan Menteri Komunikasi berkata komitmen DAP untuk merapatkan jurang gender adalah penting kerana penyertaan wanita dalam politik di peringkat Persekutuan dan negeri secara keseluruhan masih amat rendah, iaitu kira-kira 12 hingga 13 peratus, yang menyumbang kepada kedudukan Malaysia yang rendah dalam indeks jurang gender global.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru pengundi di Sabah untuk memberikan sokongan kepada calon wanita DAP dengan menjadikan Jannie sebagai contoh yang baik kerana sebagai penyandang kerusi DUN Kepayan, di dalam manifestonya beliau memberi tumpuan kepada warga emas dan penjagaan kesihatan dan wanita, sekali gus memperlihatkan pemahaman mendalam beliau terhadap keperluan mereka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini mengenai PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N25: KAPAYAN: SABAH: 49,597

1. Cyril Gerald Liew @ Cyril Gerald Austin     (Bebas)

2. Len Lip Fong @ Land Lip Fong                   (Bebas)

3. Billy Joe Dominic                                         (UPKO)

4. Bernard A Logijin                                          (STAR)

5. Kuo Lee On                                                  (PBK)

6. Sabaria @ Sabariah Aziz                             (Bebas)

7. Sylvester Molukun                                        (ASPIRASI)

8. Dr Edwin @ Jack Bosi                                 (KDM)

9. Chin Ling Ling                                             (PIS)

10. Datuk Jannie Lasimbang                          (PH-DAP)

11. Chin Tek Ming                                           (Warisan)

12. Wong Kong Fooh                                      (Anak Negeri)

 

(2020: Datuk Jannie Lasimbang: Warisan Plus-DAP: Maj: 13,163)

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan