Oleh Muhammad Saufee Rosman
PENAMPANG, 21 Nov (Bernama) -- Latar belakang calon Pakatan Harapan (PH) Remysta Jimmy Taylor sebagai ‘anak Moyog’ yang dilahirkan, dibesarkan dan dikenali rapat oleh komuniti setempat menjadi satu kelebihan buat beliau pada Pilihan Rya Negeri Sabah ke-17, kata Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan.
Ramanan, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata faktor kekuatan tempatan ini memberikan kelebihan jelas kepada PH, memandangkan Remysta bukan sahaja lahir dan membesar di Moyog, malah mendapat pendidikan serta menetap di kawasan berkenaan.
“Selalunya di Sabah, orang mahu anak tempatan, tetapi Remysta ini bukan sekadar anak Sabah atau anak Penampang, dia anak Moyog. Dia lahir di Moyog, belajar di Moyog, membesar di Moyog dan tinggal di Moyog,” katanya ketika ditemui media dalam siri walkabout bersama Remysta di Tamu Desa Babagon, di sini, hari ini.
Ramanan berkata sepanjang lawatannya di beberapa kampung termasuk Babagon dan Donggongon, Remysta sentiasa disapa mesra penduduk kerana telah lama dikenali sebagai figura tempatan, bukannya sekadar ahli politik.
“Yang datang jumpa, dia panggil aunty dan uncle. Sapaan itu bukan sekadar tanda penghormatan, tetapi tanda perkenalan kerana mereka sudah lama mengenalinya,” katanya.
Mengulas peluang PH di Moyog pada pilihan raya kali ini, Ramanan berkata penerimaan penduduk setempat di DUN berkenaan amat positif, namun menegaskan calon serta jentera perlu terus bekerja keras sehingga hari pengundian.
“Kita tidak boleh terlalu yakin. Dalam politik, arus boleh berubah dalam 24 jam. Buat masa ini jentera bergerak kuat dan maklum balas kita positif, tetapi masih ada sembilan hari lagi. Apa-apa pun boleh berlaku,” katanya.
Moyog mempunyai 31,084 pemilih berdaftar pada PRN ke-17 dan merupakan satu daripada DUN dalam Parlimen Penampang selain Kapayan.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan serta 12,729 anggota polis dan pasangan.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari portal khas Bernama di https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N26: MOYOG : SABAH: 31,083
1. Peter Maurice Lidadun (Bebas)
2. Cleftus Stephen Spine (PIS)
3. Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO)
4. Francis Mojikan (PN-Bersatu)
5. Richard Ronald Dompol (PKS)
6. Ricky Chang Onn Pin @ Ricky Richard (Bebas)
7. Walter Norbert Johnny (PBK)
8. Joeynodd Aiiko Ronald C Bansin (GRS-PBS)
9. Mcmery Victor Ninin (KDM)
10. Joseph Suleiman (STAR)
11. Terrence Siambun (WARISAN)
12. Remysta Jimmy Taylor (PH-PKR)
(2020: Datuk Ignatius Darell Leiking: Warisan Plus-Warisan: Majoriti: 5,935)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial