AM > BERITA

Banjir: Kelantan Sedia Pelan Tindakan Di Kawasan Pembinaan ECRL

21/11/2025 04:34 PM

KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan bersama pihak pengurusan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi risiko banjir di kawasan pembinaan projek itu, kata Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata pihak pengurusan ECRL juga telah memaklumkan antara tindakan yang akan dilakukan mereka seperti membuat saliran di kawasan berisiko banjir supaya air yang bertakung dapat mengalir dengan lancar.

"Tidak semua tempat bertakung, macam di Pasir Puteh pun ada sebahagian sahaja yang telah dikenal pasti berisiko banjir di kawasan pembinaan ECRL," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Program Terbitan Sukuk Wakalah berjumlah RM300 juta antara Permodalan Kelantan Berhad (PKB) dan Maybank Investment Bank Berhad di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam dan Maybank Islamic Berhad Mohamad Yasin Abdullah.

Mengenai program berkenaan, Mohamad Yasin berkata pihaknya amat berbangga dapat bekerjasama rapat dengan PKB dalam membangunkan Rangka Kerja Kewangan Mampan yang menjadi asas kepada penerbitan sukuk itu.

"Langkah ini mencerminkan komitmen bersama untuk mengarusperdanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta kewangan beretika dalam landskap pasaran modal negara.

"Kami percaya bahawa pembangunan mampan negeri dan negara tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat antara sektor awam dan swasta," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan