POLITIK > BERITA

CALON BAHARU BN, GRS DI PAPAR GUNA STRATEGI KEMPEN RUMAH KE RUMAH PIKAT PENGUNDI

21/11/2025 08:11 PM

Oleh Rohana Nasrah

PAPAR, 21 Nov (Bernama) -- Dua calon muka baharu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang dan Pantai Manis meneruskan pendekatan kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan berkunjung dari rumah ke rumah sebagai strategi utama memikat hati pengundi.

Meskipun dilihat konvensional dalam era digital pada masa ini, kedua-dua calon menyifatkan kaedah itu membolehkan mereka beramah mesra secara langsung dengan pengundi, selain menjadi ruang mendengar segala keluhan dan pandangan mengenai isu setempat di setiap kampung.

Calon BN DUN Kawang Datuk Jamal Norubit berkata kaedah itu mempunyai sentuhan peribadi sekali gus memberi peluang untuk beliau mendapat maklum balas berhubung permasalahan dihadapi masyarakat di setiap kampung di kawasan itu.

"Ziarah rumah ke rumah lebih dapat sentuhan. Yang paling penting, saya dapat menyentuh hati para pengundi. Kita juga lebih dekat dengan mereka. Satu rumah kadang-kadang ada sampai enam hingga tujuh penghuni.

"Selain itu, saya juga mendapat maklum balas mengenai masalah di setiap kampung. Lain kampung, lain masalahnya," katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan rumah ke rumah di Kampung Langsat dan Kampung Sabok, dekat Kinarut, hari ini.

Kaedah sama turut dipraktikkan oleh calon GRS DUN Pantai Manis Datuk Pengiran Saifudin Pengiran Tahir yang melihat strategi terbabit masih relevan pada masa ini kerana menjadi pelengkap kepada kempen menerusi media sosial.

"Alhamdulillah, kempen telah berjalan selama seminggu. Pendekatan kita ialah ziarah rumah ke rumah mendekati rakyat. Ini penting, selain ceramah.

"Ini satu daripada cara untuk saya perkenalkan diri selain melalui media sosial," katanya sambil menambah ia juga ruang terbaik untuk menyampaikan mesej mengenai pembangunan serta manifesto parti diwakilinya dengan lebih jelas dan berkesan.

Terdahulu, Pengiran Saifuddin menyantuni pengundi di lima rumah sekitar Kampung Kelanahan bersama jentera parti.

DUN Kawang dan Pantai Manis, masing-masing memiliki 23,823 dan 20,026 pengundi, adalah dua daripada tiga DUN dalam Parlimen Papar. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan