POLITIK > BERITA

MANIFESTO BN PILIH PENDEKATAN “BIKIN BALIK SABAH”, TANGANI ISU UTAMA - AHMAD ZAHID

21/11/2025 11:01 PM

PAPAR, 21 Nov (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang bakal dilancarkan esok dengan  pendekatan “Bikin Balik Sabah”, akan memberi tumpuan khusus kepada penyelesaian tiga isu utama di negeri itu iaitu bekalan air bersih, bekalan elektrik dan akses jalan raya, kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata perincian manifesto berkenaan yang akan diumumkan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, turut memberi penekanan kepada isu pengangguran, pelaburan, perumahan anak muda serta pembangunan ekonomi negeri.

“Kira-kira 17 peratus daripada anak-anak muda yang berjumlah 165,000 orang merupakan penganggur, jadi dalam manifesto itu disebut bagaimanakah kaedah supaya pengangguran di Sabah ini dikurangkan, kerana satu daripada lima pengangguran itu berada di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Sentuhan Kasih Desa@Papar dan Majlis Khatam Perdana di sini, malam ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (Kemas) Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata penyelesaian kepada isu pengangguran akan digerakkan menerusi pembinaan ekosistem pendidikan baharu berasaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Insya-Allah pendidikan TVET ini akan ditekankan di Sabah ini dan kita mahu anak-anak Sabah biarlah kerja di Sabah dan kita wujudkan industri melalui pelaburan yang akan dibawa ke Sabah ini,” katanya.

Beliau berkata lebih 300,000 rakyat Sabah kini berada di Pasir Gudang, manakala lebih 250,000 bekerja di Lembah Klang dan tenaga kerja itu berpotensi besar untuk membantu membangunkan negeri jika peluang pekerjaan diwujudkan di Sabah.

Mengulas lanjut strategi pengumuman manifesto, Ahmad Zahid berkata walaupun dokumen tersebut telah siap sebelum hari penamaan calon, namun pelancarannya dipilih selepas minggu pertama kempen bagi memastikan liputan yang lebih meluas kerana ia pastinya dinantikan.

“Dari segi masanya cukup baik, kerana hari Sabtu (esok) akan memberikan (mendapat) liputan daripada media cetak dan berita utama malam minggu juga lebih baik. Kita pilih dari segi strategi media,” katanya.

Pada PRN kali ini, BN meletakkan calon di 45 daripada 73 kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) termasuk dua kerusi di dalam Parlimen Papar iaitu Kawang yang akan ditandingi Datuk Jamal Nerubi dan Pantai Manis (Redzuan Ismail).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan