PUTATAN, 21 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Tanjung Keramat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Jeffery Nor Mohamed berjanji mahu menyelesaikan isu masalah air yang berlarutan di kawasan itu.
Jeffery Nor yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata masalah air bukan sekadar isu asas, tetapi sudah menjadi beban harian yang menjejaskan kehidupan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan.
“Siapa cakap rakyat di kawasan pedalaman sahaja memerlukan tangki biru (untuk menyimpan air)… kita di kawasan Putatan juga memerlukan tangki biru kerana kita ada masalah air.
“Oleh itu, isu air adalah antara isu utama yang saya mahu selesaikan jika dipilih menjadi wakil rakyat. Jika melihat rekod, BN sentiasa memahami masalah yang dihadapi rakyat dan saya yakin masalah ini kita dapat selesaikan,” katanya ketika berucap di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tanjung Keramat di sini hari ini.
Beliau berkata penyelesaian kepada isu air merupakan sebahagian daripada pendekatan BN Putatan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap keupayaan parti mentadbir dengan stabil dan berkesan.
Mengulas mengenai prestasi kempennya setakat ini, Jeffery Nor berkata sepanjang beberapa hari lepas, penerimaan masyarakat setempat terhadap beliau sebagai calon BN Tanjung Keramat sangat menggalakkan.
“Saya masuk ke kampung dan mengadakan tinjauan mesra di kawasan-kawasan kedai dan tamu (pasar mingguan). Saya dapati rakyat mahu wakil rakyat di sini daripada BN yang dilihat mampu menyelasaikan segala permasalahan rakyat,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N24: TANJUNG KERAMAT: SABAH: 26,113
(2020: Shahelmy Yahya: BN-UMNO: Maj: 1,124)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial