POLITIK > BERITA

‘THE LITTLE HONG KONG’ KIAN DILUPAKAN, VIVIAN TEKAD HIDUPKAN SEMULA SANDAKAN

27/11/2025 03:11 PM

Oleh Suraidah Roslan

SANDAKAN, 23 Nov (Bernama) -- Jolokan ‘The Little Hong Kong’ menjadikan bandar Sandakan antara lokasi tumpuan pelancong, terutama buat penggemar seni foto yang menggemari estetika deretan bangunan lama menyerupai lorong-lorong ikonik di Hong Kong.

Namun, kawasan yang pernah menjadi nadi ekonomi Sandakan suatu ketika dahulu itu kian sepi, lebih-lebih lagi pada waktu malam ekoran perkembangan pesat yang berpusat di kawasan bandar baharu atau bandar satelit seperti bandar Prima, bandar Labuk dan bandar Letat Jaya. 

Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee bagaimanapun tidak bersetuju dengan tindakan melabelkan bandar Sandakan sebagai ‘pekan hantu’ kerana suasana pada waktu pagi masih meriah, khususnya di sekitar Pasar Umum Sandakan yang terus menjadi tumpuan penduduk setempat.

Vivian, 36, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Elopura pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 berkata pelbagai usaha sedang dilaksanakan untuk menghidupkan kembali kawasan bandar termasuk pembukaan semula Hotel Four Points oleh Ormond Hotel, rangkaian hotel butik terkemuka.

Bercakap kepada Bernama, Vivian yakin pembukaan hotel baharu itu bukan sahaja dapat merancakkan ekonomi setempat dengan kedatangan lebih ramai pelancong, malah membuka kira-kira 200 peluang pekerjaan baharu buat golongan belia di bandar kedua terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu. 

“Dengan pembukaan semula hotel berkenaan, aktiviti ekonomi dan premis perniagaan dijangka beroperasi sehingga lewat malam, sekali gus mengembalikan semula seri bandar itu,” katanya.

Vivian berkata usaha menghidupkan semula bandar Sandakan dijalankan bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) termasuk mengecat bangunan lama di sepanjang Singapore Street serta meningkatkan tahap kebersihan bagi menceriakan kawasan itu.

“Misi saya bersama calon Tanjong Papat Tang Szu Ching adalah untuk menghidupkan kembali bandar Sandakan kerana kawasan bandar ini terletak di bawah DUN Tanjong Papat,” katanya.

Sementara itu, peniaga Ahmad Musa, 58, berkata suasana di bandar Sandakan pada waktu malam selepas pandemik COVID-19 seakan-akan sebuah pekan mati, menyebabkan kebanyakan premis perniagaan memilih untuk beroperasi sehingga 6 petang.

“Selepas pandemik, boleh dikatakan hasil jualan peniaga menurun 70 peratus kerana masyarakat setempat tidak lagi berkunjung ke bandar ini susulan pembangunan pesat di kawasan baharu.

“Saya melihat keperluan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) membuka pasar malam di kawasan bandar jika ingin merancakkan semula aktiviti ekonomi. Apabila ada pasar malam bolehlah saya buka kedai sehingga 9 atau 10 malam,” katanya.

Ahmad berkata walaupun terdapat lorong yang dihias dengan mural, usaha itu belum cukup untuk menarik orang ramai dan mencadangkan supaya PBT mencari pendekatan lebih kreatif.

Bagi pekerja kedai Norhanina Abdullah, 23, Lorong Warisan yang sebelum ini menjadi tarikan semakin kehilangan pengunjung sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Pada waktu pagi memang ramai kerana mereka bekerja dan ada yang ke pasar umum untuk membeli keperluan harian tetapi selepas 9 atau 10 malam kawasan ini sunyi. Di kedai telefon ini, dahulu kami mampu menjual sehingga 10 telefon bimbit sehari tapi sekarang untuk menjual dua telefon bimbit pun sukar,” katanya.

DUN Elopura dan DUN Tanjong Papat terletak dalam Parlimen Sandakan masing-masing mempunyai 39,004 serta 16,767 pemilih berdaftar pada PRN ke-17. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan