Oleh Arthur Edward
TENOM, 25 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong Datuk Rahmah Jan Sulaiman Khan memperkenalkan tujuh agenda pembangunan utama bagi memastikan kawasan berkenaan terus maju dan makmur untuk kesejahteraan rakyat.
Rahmah Jan yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tenom berikrar untuk melaksanakan kesemua agenda berkenaan sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
"Saya fokuskan tujuh teras dalam manifesto di Kemabong iaitu jalan raya lebih baik, kemudahan air, elektrik dan Internet diperkukuh. Saya juga akan membawa permohonan untuk menjadikan Kemabong sebagai daerah penuh.
"Selain itu, saya mahu bawa pendidikan berkualiti untuk semua, perkasakan ekonomi luar bandar, menjadikan Kemabong hab pelancongan baharu sebagai pemangkin ekonomi serta bantuan perumahan diperluaskan seperti Rumah Mesra Rakyat (RMR) dengan Program Perumahan Rakyat (PPR)," katanya kepada Bernama.
Kemabong, yang terletak kira-kira 185 kilometer dari Kota Kinabalu merupakan sebuah pekan dan daerah kecil di bawah pentadbiran daerah Tenom di bahagian pedalaman Sabah.
Selepas beberapa hari berkempen, Rahmah Jan berkata beliau menerima banyak aduan daripada penduduk setempat mengenai keadaan jalan raya yang teruk terutamanya di kawasan kampung dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu.
Berdasarkan sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat, Rahmah Jan yakin mampu memenangi kerusi DUN Kemabong walaupun berdepan persaingan sembilan penjuru.
Beliau berkata penglibatannya bersama rakyat di kawasan itu sejak 2016 membantunya memahami keperluan serta aspirasi penduduk, manakala tujuh agenda yang diutarakan adalah berdasarkan pemerhatian dan maklum balas langsung daripada masyarakat setempat.
"Oleh itu, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk manjadi calon BN di Kemabong. Sudah semestinya peluang ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin.
"Bila saya jumpa penduduk kampung, ada yang cakap sudah buat ketetapan untuk mengundi saya sebagai calon BN...sebab mereka cakap BN banyak membantu sejak dulu dan mereka masih menagih bantuan berkenaan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini untuk pengundian awal, manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N43 KEMABONG: SABAH: 23,168
1.Rahmah Jan Sulaiman Khan (BN)
2.Noorita Sual (PH)
3.Rassedi Liaron (PPRS)
4.Burnley Balang (Warisan)
5.Jasni Angkiwan (PIS)
6.Petrus Yahya (BEBAS)
7.Hasmin Azroy Abdullah (STAR)
8.Yabri Onos (KDM)
9.Rubin Balang (GRS)
(2020: Rubin Balang: BEBAS: Maj: 1,012)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial