KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Sebanyak 61.72 peratus daripada 24,426 pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selesai mengundi setakat 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau turut menjangkakan peratusan keluar mengundi itu boleh mencecah hingga 90 peratus apabila semua 58 pusat mengundi ditutup 5 petang ini berdasarkan tren setakat 11 pagi tadi.
“Ini satu peratusan yang tinggi, terima kasih kepada semua yang telah turun awal, dan kita harap peratusan ini akan terus meningkat sehingga pusat-pusat pengundian awal tutup pada 5 petang,” katanya dalam sidang media di pusat pengundian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hari ini.
IPD Tawau ialah satu daripada 58 pusat pengundian awal bagi PRN Sabah yang dibuka bermula serentak 8 pagi tadi sebelum ditutup secara berperingkat.
Menurut SPR daripada 24,426 pengundi awal yang layak memilih wakil rakyat mereka hari ini terdiri daripada 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis serta pasangan.
Tinjauan Bernama di beberapa pusat pengundian awal mendapati proses pengundian berjalan lancar walaupun hujan melanda di kawasan terlibat.
Di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Panglima Armada Timur TLDM Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris bersama antara yang telah selesai mengundi awal, manakala Komander Esscom Datuk Victor Sanjos hadir mengundi di IPD Lahad Datu.
Calon-calon bertanding terus meninjau pusat pengundian awal antaranya calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Yakub Khan yang melawat SK Pangkalan TLDM, manakala calon Pakatan Harapan (PH) DUN Sri Tanjong Philip Yap Wui Lip meninjau IPD Tawau.
Selepas selesai pengundian awal petang ini, semua kertas undi akan disimpan di tempat selamat sebelum dibuka dan dikira pada hari pengundian 29 Nov ini.
Semua calon kini mempunyai tiga hari lagi untuk berkempen bagi memenangi hati 1.76 juta pemilih berdaftar menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Pilihan raya negeri kali ini menyaksikan sebanyak 596 calon bertanding untuk merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 74 daripadanya ialah calon yang bertanding atas tiket Bebas.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17 layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial