POLITIK > BERITA

TIGA KESAN TEMBAKAN JADI SAKSI BISU TRAGEDI BERDARAH DI KAMPUNG SIMUNUL

25/11/2025 12:17 PM

Oleh Noorazlina Jindeh

SEMPORNA, 25 Nov (Bernama) -- Tiga kesan tembakan peluru yang mengenai sebuah rumah di Kampung Simunul di sini akibat serangan penceroboh dari selatan Filipina pada 2 Mac 2013 masih dapat dilihat hingga hari ini yang menjadi saksi bisu detik hitam dalam lipatan sejarah negara.

Pemilik kediaman itu, Norlinda Mohamad, 44, berkata beliau tiada di rumahnya ketika kejadian dan hanya dimaklumkan sepupunya melalui panggilan telefon mengenai pemindahan segera semua penduduk kampung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Simunul.

"Sekitar 7 malam, selepas maghrib sepupu saya telefon, dia beritahu ada kejadian tembak-menembak di Simunul dan mereka lari ke sekolah untuk berlindung. 

"Keesokan paginya, saya pulang dari Tawau, kami tidak dibenarkan masuk ke Simunul dan selepas dua minggu barulah kami dibenarkan balik ke rumah," kata ibu kepada tiga anak itu kepada Bernama.

Peniaga kedai runcit itu berkata setelah pulang, keadaan rumahnya berselerak dengan kesan tembakan yang masih jelas di dinding bahagian belakang dan walaupun sudah hampir 12 tahun berlalu, kesan berkenaan sengaja dikekalkan sebagai peringatan berharga.

Sementara itu, Ketua Kampung Simunul, Ismail Saraman, 61, berkata ketika tragedi itu berlaku, beliau belum dilantik sebagai ketua kampung, namun terlibat secara langsung dalam usaha membantu mengeluarkan anggota keselamatan yang terkorban.

Bapa kepada 13 cahaya mata itu berkata ketika kejadian, hari sudah gelap dan dia berada di jeti Seafeast sebelum terdengar bunyi tembakan.

Tanpa mengetahui punca tembakan yang pada awalnya disangka mercun, Ismail segera pulang ke rumah sebelum membawa isteri dan anak-anaknya ke sekolah untuk berlindung. 

"Pada 1 pagi, saya dipanggil polis dan mereka bertanyakan mengenai lokasi kejadian. Saya sendiri tidak pernah masuk ke Lorong Lima, lokasi insiden tembakan berlaku," katanya sambil menjelaskan bahawa kawasan itu kelihatan seperti rumah biasa dari luar.

Setelah memasuki rumah berkenaan, Ismail mendapati terdapat beberapa jambatan kecil menghubungkan bilik-bilik yang kelihatan seperti gua.

Mengimbas detik membawa anggota yang terkorban dalam insiden itu, Ismail berasa hiba apabila melihat sendiri keadaan wira negara yang menjadi mangsa kekejaman penceroboh dalam tragedi itu.

"Memang sedih apabila melihat pejuang kita (terkorban) dan memang ada rasa geram dengan orang begitu (penceroboh) kerana kejam kepada anggota kita," katanya yang mempunyai tiga orang anak yang bertugas sebagai anggota keselamatan.

Mohd Aizam Ibnul, 20, yang ketika kejadian baru berusia tujuh tahun, masih mengingati bagaimana beliau bersama empat ahli keluarganya keluar dari kampung pada waktu malam apabila terdengar bunyi tembakan.

Kesan daripada kejadian itu, perasaan takut serta panik berlarutan hampir tiga bulan dan kini setelah lebih 10 tahun berlalu, setiap kali melintasi jambatan tempat kejadian, memori insiden berdarah tersebut kembali segar dalam ingatannya.

"Alhamdulillah sekarang keadaan sudah aman ada polis yang sentiasa datang meronda, menjaga dan kami berasa selamat," katanya dan menambah penduduk bercadang membina tugu peringatan untuk memperingati wira negara yang terkorban dalam insiden berdarah tersebut.

Tinjauan Bernama di kawasan insiden mendapati jambatan tempat kejadian tembakan telah ditutup, manakala rumah-rumah di sekitarnya telah dirobohkan.

Dalam insiden pada 2 Mac 2013 itu, enam anggota polis terkorban di Kampung Simunul iaitu ACP Ibrahim Lebar, DSP Michael Padel, Sarjan Mejar Baharin Hamit, Sarjan Mejar Abdul Aziz Sarikon, Sarjan Salam Togiran, dan Koperal Mohd Azrul Tukiran.

Pada Feb 2013, Malaysia dikejutkan oleh pencerobohan pengganas bersenjata Sulu yang memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu sehingga membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo dan Kampung Simunul.

Sebanyak 68 pengganas Sulu maut dalam insiden itu sebelum konflik diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Kampung Simunul terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Budaya, iaitu satu daripada 73 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian manakala pengundian awal diadakan hari ini. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan