LAHAD DATU, 26 Nov (Bernama) -- Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata beliau berazam menjadikan Tungku sebagai daerah penuh sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Abdul Hakim berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada manifesto beliau supaya Tungku, yang kini berstatus sebagai daerah kecil, dapat membangun seiring dengan daerah lain di Sabah.
"Pada masa sama, masih banyak keperluan dari segi infrastruktur termasuk capaian kemudahan Internet di beberapa kawasan di Tungku yang sukar diperoleh, akan diperbaiki," katanya kepada Bernama pada sesi ramah mesra bersama pengundi di sini hari ini.
Beliau berkata Tungku juga memerlukan tambahan sekolah menengah bagi menampung keperluan masyarakat setempat selain mewujudkan Sekolah Menengah Agama kerana majoriti penduduknya beragama Islam.
Abdul Hakim merujuk kepada Tanjung Labian yang tidak mempunyai sekolah menengah sehingga menyebabkan ibu bapa terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM20 sehari untuk tambang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tungku atau SMK Desa Kencana di Felda Sahabat sekali gus membebankan mereka.
Beliau berkata keadaan itu mengakibatkan sebahagian daripada pelajar hanya mampu datang ke sekolah dua atau tiga hari seminggu disebabkan faktor kemampuan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah.
Abdul Hakim, yang memilih slogan Sayangi Tungku dalam kempennya, menyifatkan rakyat di kawasan itu seperti sebuah keluarga besar dan berkata kasih sayang perlu terus disemai dalam kalangan penduduk Tungku.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.p.
N60: TUNGKU: SABAH: 24,741
1. Saleha Abdul Wahid (BN-UMNO)
2. Suling Isib (STARSABAH)
3. Assaffal@Samsul Kamal P Alian (Warisan)
4. Jani Kulmen (PKS)
5. Jakaria Nasiran (PPRS)
6. Hairunnizam Kamsin (PIS)
7. Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan (GRS-Gagasan)
(2020: Assaffal@Samsul Kamal P Alian: Warisan Plus-Warisan: Maj: 268)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial