Oleh Siti Baaqiah Mamat
RANAU, 24 Nov (Bernama) -- Terkenal sebagai destinasi percutian berhawa sejuk dengan pemandangan memukau, Kundasang yang terletak kira-kira 92 kilometer (km) dari Kota Kinabalu sentiasa menjadi tumpuan pelancong sama ada dari dalam atau luar negara, antara lain kerana lokasinya mudah diakses.
Namun, realiti yang dihadapi penduduk di pedalaman Kundasang agak berbeza apabila mereka terpaksa menempuh perjalanan lebih 40 km melalui jalan kampung semata-mata untuk ke pekan atau mendapatkan keperluan asas.
Bagi memastikan kemudahan asas dinikmati secara saksama oleh penduduk di pekan mahupun luar bandar, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata usaha meningkatkan akses jalan raya di kawasan itu sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Joachim, 67, yang menyandang kerusi itu sejak 2004, berkata kerja-kerja menaik taraf rangkaian jalan di pedalaman dimulakan dua tahun lepas termasuk laluan dari Pekan Ranau ke beberapa perkampungan pedalaman seperti Ulu Sugut.
Beliau berkata usaha itu bagi memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu di pekan sebaliknya meliputi keseluruhan kawasan kerana penempatan penduduk sangat luas dan berselerak selain infrastruktur dibina mengikut keperluan setiap kampung.
“Kita sedang berusaha memperbaiki dan menaik taraf jalan yang ada di seluruh DUN Kundasang ini dan saya bersyukur sebab dalam tempoh dua tahun lepas, kita sudah mula naik taraf jalan raya dari Pekan Ranau ke kawasan perkampungan yang besar-besar.
“Peningkatan infrastruktur turut merangkumi laluan ke Kaingaran yang memiliki pusat kesihatan serta sekolah menengah, dan perancangan seterusnya adalah memanjangkan pembinaan jalan hingga ke penghujung kawasan DUN Kundasang yang turut mempunyai sekolah,” katanya kepada Bernama.
Joachim berkata pembinaan dan penaiktarafan jalan di pedalaman Kundasang bukan sahaja meningkatkan akses penduduk tetapi turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat khususnya dalam sektor pertanian.
Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah itu berkata ketersediaan jalan yang baik memudahkan penduduk mengangkut hasil tanaman ke pekan utama dan pusat pengumpulan kerana keupayaan mereka menjual hasil pertanian dengan lebih cepat dan efisien banyak bergantung kepada prasarana tersebut.
“Pada masa hadapan, kalau jalan ini sudah dibina dengan baik, proses penduduk mengangkut hasil pertanian mereka akan menjadi lebih mudah, dan saya percaya keadaan ekonomi mereka juga akan meningkat secara semula jadi… cuma mereka perlukan akses jalan yang baik,” katanya.
Beliau juga berkata usaha menaik taraf jalan di pedalaman Kundasang merangkumi pembinaan laluan kecil termasuk jambatan gantung namun ia tertakluk kepada peruntukan yang diterima setiap tahun.
Ditanya mengenai pencapaiannya selepas lebih 20 tahun berkhidmat, Joachim menyifatkan peluasan bekalan elektrik di dua kawasan pedalaman dan pembinaan loji rawatan air sebagai antara kejayaan utama.
Berdepan saingan 10 penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, beliau berkata semua calon mempunyai peluang sama untuk menyampaikan visi masing-masing kepada pengundi namun pengundi perlu menilai manifesto yang realistik dan mampu dicapai.
Joachim berkata manifestonya bersifat kesinambungan projek sedia ada yang memberi manfaat kepada rakyat, memastikan kemudahan dan pembangunan berterusan serta tidak menabur janji-janji 'bombastik'.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala esok sebagai undi awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
N36: KUNDASANG: SABAH: 24,582
1. Datuk Japiril Suhaimin (SAPP)
2. Edward Jamkim @ Paul Arif (PIS)
3. Dr Atong Antong (PN-Bersatu)
4. Jeffrey Gopog (Warisan)
5. Nazarul Khaiwala Wahab (Anak Negeri)
6. Rogers Tiam @ Aloysius (UPKO)
7. Jattry Abie @ Jeffry Mohd Ali (KDM)
8. Japirin Sahadi (BN-PBRS)
9. Jackson Musi (Bebas/IND)
10. Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-PBS)
(2020: Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam: PBS: Maj: 1,422)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial