POLITIK > BERITA

UMNO MASIH BERSEDIH, BELUM SEDIA BINCANG PENGGANTI BUNG MOKTAR - KETUA PUTERI 

10/12/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- UMNO masih belum bersedia untuk membincangkan pengganti Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin berikutan kesedihan yang masih dirasai kepimpinan parti itu susulan pemergiannya pada Jumaat lepas.

Ketua Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan hari ini hanyalah mesyuarat bulanan biasa tanpa sebarang perbincangan mengenai pengisian jawatan berkenaan.

Beliau bagimanapun berkata mesyuarat itu turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang diadakan pada 29 Nov lepas.

Menurut Nurul Amal, sebelum mesyuarat bermula, kepimpinan UMNO mengadakan tahlil ringkas sebagai mengenang jasa Allahyarham yang disifatkan amat dekat dan sentiasa berada di sisinya pada mesyuarat-mesyuarat penting sebelum ini.

“Banyak pemimpin masih bersedih dan terasa dengan pemergian Allahyarham (Bung Moktar), kami belum bersedia lagi (bincang pengganti).

“Perasaan masih bercampur baur, memang terasa sangat kehilangan itu. Beri kami sedikit masa,” katanya selepas mesyuarat itu.

Allahyarham Bung Moktar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah meninggal dunia pada 5 Dis lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu beberapa hari selepas beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dalam PRN Sabah.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memaklumkan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah akan diadakan pada 16 Dis ini.

Terdahulu, Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn di sini.

Turut hadir Naib-Naib Presiden Datuk Seri Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Saleh dan Setiausaha Agung Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan