POLITIK > BERITA

UMNO PERLU TAWAR AGENDA BAHARU, BERHENTI BERGANTUNG NARATIF SEJARAH - MOHAMAD

14/01/2026 10:58 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- UMNO perlu menawarkan agenda baharu dan berhenti bergantung kepada  naratif sejarah semata-mata bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata parti itu perlu segera membina pelan hala tuju yang jelas dalam tempoh 24 bulan akan datang bagi memastikan UMNO kekal relevan dan diyakini pengundi.

“Anak muda 25 tahun yang kerja Grab atau Foodpanda, tak leka mengenang pencapaian UMNO 40 tahun lalu. Dia mengundi atas dasar harapan tentang masa depan.

“Dia tanya gaji aku cukup tak? Boleh beli rumah tak? Kita mesti tawarkan penyelesaian gaji dan kerjaya. Ketengahkan rancangan Ekonomi Gig dan kebebasan bekerja,” katanya ketika berucap pada perasmian serentak Mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di sini malam ini.

Mengenai landskap pengundian semasa, Mohamad berkata kira-kira 50 peratus pengundi terdiri daripada golongan muda berusia antara 18 hingga 35 tahun yang tidak membesar dalam era kegemilangan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata bagi parti itu menghadapi perubahan landskap politik semasa, ideologi nasionalisme Melayu semata-mata juga tidak lagi mencukupi untuk menagih sokongan pengundi.

Selain itu, beliau menggesa UMNO mempercepat usaha pendigitalan parti secara menyeluruh bagi memastikan ia mampu berfungsi secara berkesan di persada maya.

“Mungkin telah tiba masanya kita berimaginasi bahawa UMNO itu adalah sebuah parti digital. UMNO-Digital atau e-UMNO bukan sesuatu yang mustahil dan tidak terjangkau,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2025 berlangsung dari 14 hingga 17 Jan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini selepas ditangguhkan dua kali pada Ogos dan November bagi memberi laluan kepada persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu berlangsung esok melibatkan 1,165 perwakilan bagi Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda (1,173 orang) dan Puteri (1,146 orang).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan