SUKAN > BERITA

PARA SUKMA 2024: TANGAN KUAT ELVSIUS MENJADI LAGI, LENGKAPKAN EMAS HATRIK DI KUCHING

25/09/2024 01:15 PM

KUCHING, 25 Sept (Bernama) -- Hampir berputus asa dalam hidup selepas kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan jalan raya 10 tahun lepas, atlet Sabah Elvsius John tiada pilihan selain bergantung sepenuhnya kepada kekuatan tangan, telah memberi nafas baharu dalam kehidupannya.

Hari ini, Elvsius sekali lagi membuktikan tangannya mampu menggegarkan Stadium Sarawak, selepas bukan sahaja cemerlang menyapu bersih emas malah unggul meleburkan rekod temasya dalam kesemua tiga acara berbeza disertainya, pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, di sini.

Atlet berusia 30 tahun berjaya melengkapkan emas hatriknya pada edisi kali ini, dengan memenangi acara lempar cakera F57 (kecacatan fizikal) menerusi catatan 32.18m sekali gus memadam rekod temasya miliknya, 31.99m, pada edisi 2022.

Beliau menafikan cabaran dua atlet Selangor Muhammad Aizam Balqish Mohd Daniel Dangis (30.32m) dan Aliff Shafiq Muhamad (30.15m), yang masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Atlet dari Telupid yang bersyukur dengan kejayaan di Kuching bagaikan tidak percaya tangan kanannya masih lagi memberi tuah buatnya, untuk mendominasi acara terakhirnya selepas memenangi emas rejam lembing F57 pada Isnin diikuti lontar peluru F57, semalam.

“Tak sangka pecah rekod dalam acara hari ini, kerana saya akui kurang konsisten sewaktu dalam latihan, mungkin ini berkat dari tuhan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Elvsius memecah rekod temasya selama lapan tahun bagi acara rejam lembing F57 milik Faridul Masri (27.02m) dengan catatan baharu 27.43m dan melakukan catatan 9.31m dalam acara lontar peluru F57 untuk sekalig lagi mengatasi rekod bekas atlet kebangsaan tersebut (9.22m) pada edisi 2018.

Beliau juga menyifatkan pencapaian dilakar hari ini sebagai rezeki buat dua cahaya mata perempuannya iaitu Lanie, 2, dan Liana yang berusia setahun.

Mengimbau kembali detik hitam dilaluinya sebelum ini, beliau mengakui sukar menerima hakikat musibah menimpanya, selepas motosikal ditunggangnya dilanggar lori seberat 10 tan di Telupid.

“Hampir setahun lebih pakai tongkat kerana saya tidak mahu pakai kaki palsu. Saya hilang semangat malah sempat berfikir lebih baik tiada dalam dunia ini, buat apa lagi kalau selalu baring dan tidak buat apa-apa,” katanya.

Bagaimanapun, anak keenam dari 10 beradik berkata sokongan padu ahli keluarganya mendorongnya untuk bangkit dan menyedari sukan mampu mengubah nasib hidupnya seperti dikecapi hari ini.

Selepas sekadar mencuba nasib menyertai kejohanan sukan di Sandakan, Elvsius tidak menyangka terdapat jurulatih yang menghargai bakatnya, sehinggalah berjaya menempa nama dalam Para SUKMA dan memasang impian mewakili negara pada satu hari nanti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan