SUKAN > BERITA

AL-SULTAN ABDULLAH SUNTIK SEMANGAT PASUKAN HOKI VETERAN SAS MENJELANG KEJOHANAN DUNIA

03/10/2024 09:35 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Barisan pemain pasukan Persatuan Hoki Veteran Malaysia Sultan Ahmad Shah (SAS) menerima suntikan semangat daripada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjelang aksi Piala Dunia Hoki Master 2024.

Al-Sultan Abdullah yang berkenan berangkat ke majlis minum petang persatuan itu bagi memberikan sokongan moral turut menyampaikan Jalur Gemilang dan cenderamata kepada pemain yang akan mewakili Malaysia dalam pelbagai kategori umur di kejohanan dunia tersebut.

Presiden Persatuan Hoki Veteran Malaysia SAS Tengku Arif Temenggong Tengku Fahd Mu’adzam Shah berkata pihaknya menyasarkan untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas dan satu pingat perak pada kejohanan itu.

“Kami berharap untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada kali ini terutama bagi pasukan kategori umur 60-an yang memenangi pingat gangsa di Piala Dunia sebelum ini di Tokyo.

"Pasukan Malaysia juga telah memenangi dua pingat emas dalam Kejohanan Hoki Master Asia 2023 di Hong Kong menerusi pasukan 40-an dan 60-an yang mengukuhkan lagi kekuatan negara dalam kategori master,” katanya kepada pemberita selepas majlis minum petang itu.

Sementara itu, Timbalan Presidennya Datuk Manjith Abdullah berkata beliau percaya pemain akan memberikan prestasi terbaik di Piala Dunia selepas berada di kedudukan enam teratas dalam semua kategori pada edisi sebelumnya, dua tahun lepas.

“Kehadiran Tuanku (Al-Sultan Abdullah) meningkatkan lagi semangat kami. Baginda sangat komited dalam menyokong pasukan negara dan matlamat kami adalah untuk mara ke separuh akhir dalam semua kategori," katanya.

Selain pingat gangsa bagi kategori  60-an, pasukan Malaysia juga menduduki tempat keempat bagi kategori 65 tahun, kategori 45 tahun dan 55 tahun (kelima) manakala pasukan 40-an dan 50-an berakhir di tempat keenam.

Pada Piala Dunia tahun ini, pasukan Malaysia bagi kategori 40-an dan 60-an akan bermain di Cape Town, Afrika Selatan dari 12 hingga 21 Okt manakala kategori yang lain akan beraksi di Auckland, New Zealand.

Antara bekas pemain kebangsaan yang akan turut serta ialah Jiwa Mohan, Keevan Raj (40-an), S. Kuhan, I. Vikneswaran, Chairil Anwar Abdul Aziz (45 tahun), Datuk R. Yogeswaran (50-an) dan Soon Mustafa Karim (60-an).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan